KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri direman tujuh hari selepas disyaki aktif mengedar pelbagai jenis dadah berbahaya termasuk dadah sintetik jenis MDMA dalam satu serbuan di sebuah rumah di kawasan taman perumahan di Alor Setar, Kedah Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, tangkapan terhadap pasangan berusia lingkungan 50-an itu membawa kepada rampasan dadah bernilai hampir RM190,000.
“Serbuan kira-kira pukul 3 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Setar menemukan 10,340 biji pil disyaki Eramin 5 seberat 2,846.29 gram, 493.23 gram dadah jenis ketamin, dan 364.2 gram serbuk disyaki MDMA.
“Dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada kira-kira 3,200 penagih di sekitar Alor Setar dan berkemungkinan digunakan dalam parti tertutup atau di pusat hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Siti Nor Salawati, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita wang tunai sebanyak RM530 yang dipercayai hasil aktiviti pengedaran dadah.
“Ujian saringan awal terhadap suspek lelaki mendapatinya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine serta mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Wanita berkenaan pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Siti Nor Salawati berkata, kedua-dua suspek telah direman selama tujuh hari bermula 29 April hingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya hukuman mati tidak dijatuhkan, pesalah akan dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan. – MalaysiaGazette