PARLIMEN Tapah terus muncul sebagai contoh signifikan dalam pendekatan Barisan Nasional (BN) terhadap perwakilan pelbagai kaum yang harmoni dan berkesan.
Gabungan kerjasama antara tiga parti teras BN – UMNO, MCA dan MIC telah menjadikan kawasan ini satu manifestasi nyata bagaimana formula perpaduan – diterjemah menjadi kepimpinan yang inklusif dan berkesan.
Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan dari MIC, bergandingan dengan AHli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Yusri Bakir (UMNO) dan ADUN Chenderiang, Choong Shin Heng (MCA) menunjukkan bagaimana suara masyarakat Melayu, India, Cina dan Orang Asli dapat diwakili secara langsung merentas peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Gabungan berkenaan bukan sahaja unik malah jarang sekali disaksikan di mana-mana kawasan lain di negara ini.
Kemenangan BN di DUN Ayer Kuning juga menandakan kebijaksanaan baharu dalam kalangan pengundi. Mereka menolak retorik sempit dan memilih kestabilan serta pembangunan jangka panjang kini menjadi simbol penolakan politik kebencian, dan sebaliknya meraikan semangat kerjasama rentas kaum demi kemajuan bersama.
Dengan latar belakang kerjasama sejarah antara MIC, MCA dan UMNO, Tapah juga mencerminkan bagaimana gabungan politik yang matang dan saling menghormati dapat menghasilkan dasar-dasar yang lebih seimbang.
Pelbagai perspektif yang dibawa oleh wakil rakyat dari kaum dan parti berbeza membolehkan proses pembuatan dasar menjadi lebih holistik merangkumi keperluan sebenar masyarakat majmuk.
Kesannya turut dapat dilihat dalam landskap pembangunan Tapah. Pekan itu berkembang daripada sekadar sebuah bandar transit kepada pusat pembangunan modal insan.
Kehadiran institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara, kolej komuniti, pusat latihan HRD Corp dan infrastruktur sukan moden seperti stadium mini dan gelanggang futsal bukan sahaja memperkukuh daya tarikan Tapah malah merancakkan pemerkasaan ekonomi tempatan.
Namun di sebalik kejayaan, cabaran masih wujud.
Keluhan yang tidak ditangani secara tuntas berpotensi merosakkan asas keharmonian yang dibina. Ketidakpuasan yang berlarutan boleh menyemarakkan ketegangan kaum dan melemahkan perpaduan nasional.
Justeru usaha untuk memahami dan menangani suara hati masyarakat sama ada dari desa pedalaman atau bandar utama perlu dijadikan keutamaan.
Malaysia hanya akan dapat melangkah lebih jauh sebagai negara maju jika kepimpinan di semua peringkat bersedia mengangkat naratif inklusif, dan berani menolak politik perkauman serta agama yang memecahbelah.
Tapah telah membuktikan bahawa kerajaan perpaduan bukan sahaja konsep retorik, tetapi boleh berfungsi dengan berkesan di lapangan apabila dijayakan dengan komitmen dan kesungguhan.

M. VIVEKANANTHAN
Bekas penjawat awam yang berkhidmat lebih 30 tahun di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan Malaysia