Gambar hiasan.

SEREMBAN – Rancangan Kerajaan Negeri Sembilan untuk melupuskan anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu menerima kecaman daripada aktivis masyarakat dan pejuang kebajikan haiwan.

Pengerusi Pertubuhan Bersatu Negeri Sembilan, Datuk Seri S Surash menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai tidak sensitif dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan.

“Tindakan membunuh anjing liar bukan sahaja kejam malah menunjukkan kegagalan kerajaan negeri mengurus isu ini secara berilmu dan berperikemanusiaan.

“Ini bukan soal kaum atau agama sebaliknya ini soal tanggungjawab kita terhadap makhluk hidup,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Datuk Seri S Surash

Hari ini, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju agar sebahagian anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam dilupuskan atas faktor keselamatan.

Difahamkan tindakan itu akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan dan tidak semua anjing liar akan dilupuskan.

Menurut Surash, alasan hanya anjing yang ‘mengancam keselamatan’ akan dibunuh adalah kabur  kerana tidak ada penanda aras yang jelas untuk menilai ancaman tersebut.

“Siapa yang tentukan anjing itu bahaya? Bagaimana nak bezakan yang garang dan yang jinak? Kenyataan seperti ini membuka ruang kepada salah guna kuasa dan tindakan semborono,” katanya lagi.

Beliau menggesa kerajaan negeri agar menghentikan segera rancangan pelupusan itu sebaliknya bekerjasama dengan NGO kebajikan haiwan untuk melaksanakan program ‘Tangkap, Mandul dan Lepaskan’ yang telah terbukti berkesan dan beretika.

“Gunakanlah peruntukan yang ada untuk mendidik masyarakat, bukan membiayai pembunuhan haiwan. Kita tidak mahu anak-anak membesar dalam budaya kekerasan terhadap makhluk yang tidak bersalah,” ujarnya.

Surash turut menegaskan pentadbiran negeri seharusnya mencerminkan dasar yang adil dan progresif bukan tunduk kepada tekanan sentimen tanpa mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap masyarakat dan keseimbangan ekosistem bandar.

“Ini bukan hanya soal anjing, ini soal nilai dan arah tuju kita sebagai masyarakat berperadaban,” katanya.

Sebelum ini, Rajesh Nagarajan daripada Peguam  Hak Asasi Haiwan mengkritik tindakan yang sama dengan menyifatkan langkah itu sebagai salah di sisi undang-undang.

Soalnya pihak mana yang akan dilantik kerajaan negeri untuk melupuskan anjing-anjing tersebut sedangkan hanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang dibenarkan secara sah untuk melaksanakan pelupusan haiwan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here