KUANTAN – UMNO Bahagian Pekan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ia sekaligus dikatakan penyebab prosiding semakan kehakiman berkaitan titah adendum yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi tergendala.
UMNO Pekan dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu disifatkan sebagai penafian terhadap keadilan yang sewajarnya diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
“Perlu ditegaskan bahawa kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 telah disahkan oleh Majlis Kesultanan Pahang melalui surat bertarikh 4 Januari 2025.
“Malah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) turut mengesahkan kewujudan adendum itu dalam ucapannya,” katanya.
UMNO Pekan turut menegaskan penangguhan pelaksanaan titah tersebut selama lebih 14 bulan adalah sesuatu yang sangat mengecewakan dan dilihat sebagai sebuah ketidakadilan terhadap Najib.
Justeru, UMNO Pekan menyeru agar semua pihak memandang serius isu berkenaan demi menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sentiasa terpelihara.
“Beliau merupakan seorang tokoh negarawan yang telah memberi sumbangan yang sangat besar kepada pembangunan negara termasuklah melalui pelbagai dasar transformasi ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang masih memberi manfaat kepada rakyat sehingga kini.
“Sumbangan beliau tidak wajar dipinggirkan dan sebagai warganegara Malaysia, beliau juga berhak menerima layanan yang adil dan saksama di sisi undang-undang,” tambah kenyataan itu lagi.
UMNO Pekan turut menjunjung tinggi titah adendum yang telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan akan terus komited memperjuangkan keadilan buat pemimpin mereka itu. – MalaysiaGazette