Keadaan kereta yang dinaiki mangsa selepas terbabas melanggar penghalang jalan di tepi Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), Yong Peng, Batu Pahat, hari ini.

BATU PAHAT – Seorang wanita yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan Sabtu ini menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan dengan tunangnya di Kilometer 93.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), Yong Peng di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pada pukul 8.30 pagi tadi mengorbankan Siti Nur Syamira Samsol, 28, manakala tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, terselamat.

Difahamkan pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah ibu mangsa, Zainab Sakardi, 61, di Kampung Benaung, Mersing bagi membuat persiapan perkahwinan mereka.

Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa tersepit sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng tiba untuk mengeluarkan wanita berkenaan yang terperangkap di tempat duduk penumpang.

Komander Operasi dari BBP Yong Peng, Pengawai Bomba Kanan II Mohd Hafiz Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.45 pagi.

Susulan itu, enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Bezza yang difahamkan terbabas dan melanggar penghalang jalan. Pemandu lelaki tersebut tidak tersepit tetapi mangsa wanita berkenaan tersepit.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudian dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kemalangan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here