Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Seorang pemimpin UMNO mendakwa, Pas seperti tidak boleh “move on” setelah berpisah dengan DAP.

Lantaran itu, parti tersebut cuba memangsakan UMNO dan DAP setelah tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau yang merupakan Naib Presiden UMNO berkata, cinta Pas terhadap DAP menebal sehingga membuak cemburunya pada siapa jua yang cuba berkawan dengan DAP yang merupakan ‘jandanya’.

“Pengundi Ayer Kuning telah memilih BN untuk mewakili kepentingan politik mereka. Mereka jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.

“Mereka mengundi politik yang rasional dan berhikmah dan menolak penunggang agama. Mereka menolak fatwa politik bahawa Haji dan Umrah boleh ditangguhkan demi sebuah pilihan raya.

“Bila kalah, Pas, seperti biasa akan memangsakan UMNO dan DAP. Setakat itu sahaja kemampuan pemikiran mereka.

“Sebenarnya Pas itulah yang telah mensucikan DAP dengan ‘menikahi’ akan DAP beberapa kali sebelum ini.

“Pas rangkul erat DAP melalui kerjasama politik CCC (Chinese Consultative Committee), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Masa itu semuanya halal dan diharuskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Mohamed Khaled lagi, bagi UMNO, politik masa depan Malaysia adalah tentang keberanian mengambil risiko, apalagi dalam landskap politik yang sangat disruptif seperti sekarang.

Justeru katanya, dalam membangun persefahaman politik masa depan, UMNO mesti meneroka segala kemungkinan.

Ia termasuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam, menafikan hak masyarakat majmuk yang lain serta merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik.

“PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk UMNO. Ia juga adalah kejayaan moral untuk Barisan Nasional.

“Ia proses ‘mensucikan’ UMNO dari pelbagai kelemahan lepas untuk menjadi lebih baik. Tahniah Barisan Nasional,” katanya.

Pada PRK Ayer Kuning minggu lalu, calon BN yang diwakili UMNO, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani K S. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here