KUALA LUMPUR – Meskipun kerajaan telah menetapkan pengurangan kadar subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada lima sen bermula hari ini namun harganya bagi semua gred dalam pasaran sekitar ibu negara masih pada tahap terkawal.
Hari ini MalaysiaGazette bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDNKL) membuat tinjauan di beberapa premis di sekitar Jalan Chow Kit di sini dan mendapati tiada pembelian panik berlaku dalam kalangan pengguna.
Malah pegawai KPDNKL turut menyarankan kepada peniaga agar menggunakan penanda harga merah jambu bagi barangan harga kawalan untuk membezakan harga barangan berkenaan kepada pengguna.
Semakan harga di premis juga mendapati harga 30 biji atau satu papan telur bagi Gred AA dijual pada harga RM13.20, Gred A (RM12.30), Gred B (RM9.30), Gred C (RM9.00), Gred D (RM8.10) dan Gred E (RM7.50).
Bagaimanapun ada pengguna tidak bersetuju dengan penarikan subsidi terhadap barangan asas itu kerana mendakwa ia akan memberi kesan peningkatan harga kepada rantaian makanan lain.

Bagi pekerja swasta, Siti Nur Fatihah Mohd Zubir, 32, ia mungkin tidak banyak terkesan banyak kepada mereka yang membeli dalam kuantiti kecil tetapi memberi impak kenaikan harga makanan yang menggunakan barangan asas itu.
“Bagi saya, tidak patutlah. Saya bekerja, mampu lagi untuk membeli tapi mungkin terkesan seperti peniaga makanan yang akan menaikkan harga jualan walaupun kerajaan hanya tarik (subsidi) satu barang sahaja contoh telur, minyak, ia tetap memberi kesan pada harga makanan di luar nanti.
“Untuk golongan B40 juga akan lagi terkesan sebab (kerajaaan) tarik satu subsidi, benda lain turut sama terkesan dengan alasan subsidi naik, jadi saya harap kerajaan dapat kekalkan subsidi keperluan asas makanan ini dan cari kaedah lain,” katanya ketika ditemui hari ini.
BACA: Tarik subsidi telur timbulkan tanda tanya – Lawrence

Bagi Saifulnizam Mohd Shah, 27, pula walaupun pembelian telur untuk keperluan makanan sendiri namun ia akan memberi impak kenaikan kepada kos perbelanjaan harian dan bulanannya sebagai pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Terkesan mungkin pada kos (belanja) sebelum ini rendah sedikit tapi sekarang naik mungkin perbelanjaan mingguan dan bulanan akan tinggilah, biasanya saya beli telur Gred B atau C tapi kalau naik harga makanan turun Gred D selepas ini,” ujarnya.

Lain pula bagi pesara, Badlee Shah Ahmad Shah, 58, yang berpandangan, ia satu tindakan baik oleh kerajaan kerana bekalan telur kini dilihat mencukupi dan kadar penarikan subsidi itu juga tidak memberi kesan yang ketara kepada pembeli.
“Untuk saya, harga sedia ada ini sudah memadai berbanding sebelum ini lagi mahal dan bertuah sebenarnya kerajaan sudah membuat penetapan seperti ini dengan harga ayam sekarang pun di bawah RM9 dan beras tempatan pula RM26 dengan kuantiti yang mencukupi.
“Saya tengok bekalan telur pun sudah banyak sangat ini sampai tidak habis di makan, kenapa perlu kerajaan nak belanjakan lagi hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam, bagi saya, tidak wajarlah (kekalkan subsidi) orang yang komplen, ini adalah orang tidak bersyukur,” ujarnya.

Sementara itu, pekedai runcit, Zaharina Sahlan, 33, pula berkata, bekalan telur kini semakin stabil dan harga jualan masih terkawal seperti ditetapkan berbanding sebelum ini sukar untuk mendapatkan bekalan.
“Alhamdulilah, bekalan telur senang diperoleh dalam tempoh dua hari sudah ada stok dan kalau kurang kita akan tambah ikut kuantiti diperlukan tanpa terputus bekalan seperti sebelum ini. Kami jual telur Gred B dan C masing-masing pada harga RM10 dan RM9.30 dengan harga yang memang paling rendah.
“Sebagai peruncit tidak terkesan kerana harga diberikan pembekal sudah murah ditambah pula subsidi yang ditarik kerajaan itu tidak terlalu banyak jadi alhamdulilah masih terkawal,” jelasnya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: