Tan Sri Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR – Menjamin gaji yang adil, memperkukuh undang-undang buruh serta meningkatkan penguatkuasaan hak pekerja khususnya di sektor-sektor yang terdedah seperti pembinaan, ladang, pekerjaan domestik, perkhidmatan gig dan buruh migran merupakan langkah penting bagi memelihara martabat dan kesejahteraan tenaga kerja di Malaysia.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, Hari Pekerja bukan hanya untuk diraikan tetapi juga untuk merenung dan memperbaharui komitmen dalam melindungi hak serta keselamatan setiap pekerja.

“Pekerja di Malaysia kini menghadapi pelbagai cabaran termasuk ketidakpastian pekerjaan, gaji yang tetap, keadaan kerja yang tidak selamat, diskriminasi dan kenaikan kos sara hidup.

“Seiring dengan perubahan ekonomi dan evolusi cara kerja, dasar buruh dan perlindungan juga harus disesuaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye menekankan bahawa, Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keselamatan tempat kerja dan kesihatan mental, memastikan gaji yang setimpal untuk kerja yang sama, serta mengurangkan jurang peluang pekerjaan antara bandar dan luar bandar.

Menurut beliau, ekonomi digital harus inklusif dengan latihan dan perlindungan sosial diberikan kepada pekerja gig dan bebas.

“Selain itu, ketika kita berdepan dengan realiti populasi yang semakin menua, kita perlu memikirkan semula dasar persaraan dan memberi peluang kepada pekerja yang lebih tua untuk terus bekerja secara bermakna.

“Hari Pekerja adalah peringatan bahawa pertumbuhan ekonomi harus berjalan seiring dengan keadilan sosial. Marilah kita tegaskan semula komitmen bersama untuk membina persekitaran pekerjaan yang lebih adil, selamat, dan saksama untuk semua,” ujarnya.

Menyoroti beberapa isu penting kepada pekerja di Malaysia termasuk memperjuangkan gaji yang mencerminkan kos sara hidup sebenar terutama di kawasan bandar, mengurangkan kemalangan industri dan kemalangan semasa perjalanan serta memperkukuhkan penguatkuasaan peraturan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan tenaga kerja.

Beliau turut mencadangkan agar masalah tekanan, keletihan dan kekurangan sokongan kesihatan mental di tempat kerja ditangani serta menggalakkan persaraan yang fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat dan pengambilan pekerja yang inklusif.

Berkaitan dengan hak pekerja migran, beliau menyeru agar eksploitasi dihentikan, memastikan layanan yang adil serta meningkatkan keadaan hidup mereka, dan turut menyeru agar penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada diperkukuhkan serta dikemas kini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang berkembang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here