KUALA LUMPUR – Pemberian Skim Insurans Berkelompok secara percuma kepada kira-kira 3.5 juta rakyat di Sabah merupakan satu pembaziran ketika kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air didakwa masih di takuk lama.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, pemberian perlindungan insurans kemalangan itu hanya sekadar ‘gula-gula politik’ yang tidak menyelesaikan masalah infrastruktur yang tidak berkesudahan.
“Sama ada bantuan Syukur ataupun sekarang (insurans) yang ditawarkan seperti gula-gula, bantuan syukur, semua pun perlu isi borang dulu, baru dapat, itu pun tidak dapat dipastikan.
“Kalau kita lihat lagi sekarang, urus tadbir kerajaan GRS nampaknya wujud penyakit tiga serangkai iaitu masalah jalan, air dan elektrik malah berlaku semasa bulan puasa lalu.
“Malam hari raya pun, semasa takbir pun, semua kawasan tiada elektrik, kasihan masyarakat terutama rakyat yang tengah masak. Buat kuih ini, tiba-tiba elektrik tak ada.
“Dalam beberapa hari ini pun masih juga berlaku, ia hanya menguntungkan bengkel, (kerana) tayar pecah dan kereta rosak disebabkan masalah jalan, belum lagi masalah tata kelola,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Pada 9 April lalu, media melaporkan Kabinet Sabah meluluskan Skim Insurans Berkelompok yang dijangka memberi manfaat kepada sekitar 3.5 juta penduduk tempatan.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, rakyat yang berumur antara satu bulan hingga 80 tahun secara automatik akan memperolehi insuran perlindungan diri secara percuma bernilai sehingga RM10,000, serta faedah khairat kematian sebanyak RM500.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran mendakwa pemberian perlindungan insurans itu tidak menggembirakan rakyat sedangkan masalah jalan raya, air dan elektrik masih gagal diselesaikan Kerajaan Negeri Sabah.
“Akhirnya rakyat merasai, sekarang ini pun sudah sampai ke tahap yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Selain itu, Suhaimi turut mempersoalkan jumlah penerima perlindungan insurans sedangkan rakyat Sabah yang layak hanya sekitar 2.4 juta individu sahaja.
“Kalau dikira mengikut perangkaan, rakyat Sabah itu mencecah sampai 3.5 juta tetapi yang aslinya adalah 2.4 juta orang, kalau ditawarkan RM10 satu kepala, kalau ditawarkan RM100 bermakna RM240 juta (peruntukan).
“Sedangkan masalah infra dalam masa tempoh tiga tahun saja (tidak dibelanjakan untuk baik pulih), tapi dia boleh belanja RM240 juta dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Menurut Suhaimi, pemberian projek perlindungan insurans itu kepada syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah, Progressive Insurance Bhd. diragui ketelusannya malah dikhuatiri akan berlaku ketirisan dana.
“Dia tak telus, memang betullah, mungkin pihak atasan (Kabinet) mengeluarkan kenyataan tidak terpilih kepada semua orang tetapi jenteranya semua diberikan.
“Tetapi tidak ada satu orang pun yang boleh mengatakan ataupun membuktikan bahawa ketelusan dalam perkara ini, contohnya bantuan Syukur.
“Kalau ambil insuran mesti kita kena isi borang, pelaksanaan itu pun tak tahu macam mana cara dia, sama ada dalam talian atau manual.
“Macam mana orang yang di kampung pendalaman, macam mana nak bayar insuran itu, macam mana nak tuntut sekiranya berlaku
“Dalam tempoh tiga tahun, boleh selesaikah 2.4 juta penduduk Sabah itu didaftarkan untuk mendapatkan insuran sama ada cara automatik ataupun tidak ini,” katanya.
Katanya lagi, cara GRS mengagihkan manfaat kepada rakyat jauh berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional (BN) yang memberikan bantuan tanpa memilih ‘bulu’.
“Kalau kita di peringkat Persekutuan, sama ada zaman BN, zaman PH, zaman PN kemudian sekarang zaman Madani, semua melalui bantuan-bantuan melalui cukai pendapatan, semua tersalur.
“Tetapi di sana itu lebih kepada terpilihlah, kerajaan memutuskan semua dapat, tapi sampai ke hari ini, pelaksanaan daripada pembentangan bajet tahun lalu sampai sidang DUN baru-baru ini tak jelas.
“Itu yang menjadi persoalan, sedangkan baru buat perkiraan sampai DUN baru-baru ini baru lebih kurang 33,000 orang sahaja yang mendapat bantuan Syukur, ini bermaksud, umum sana, umum sini sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette