KUALA LUMPUR – Penubuhan Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) yang menghimpunkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) rentas parti dari lima negeri disambut baik pelbagai pihak.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyifatkannya kesinambungan penting kepada usaha reformasi institusi yang bermula di Parlimen sejak 2018.
Dalam satu kenyataan sempena Hari Pekerja, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, KDPP bukan sahaja membawa nafas baharu kepada wacana politik negeri malah menjadi platform untuk memperkukuh tadbir urus demokratik, reformasi institusi dan keadilan dalam pengagihan sumber.
“Saya mengalu-alukan penubuhan KDPP dan mengucapkan tahniah kepada Dr Hafidzah Mustakim (AMANAH-Kota Lama) dan Datuk Andansura Rabu (PAS-Beserah) atas pelantikan sebagai Pengerusi Bersama,” katanya.
KDPP yang dilancarkan minggu lalu turut melibatkan penyertaan tiga organisasi masyarakat sivil (CSO) dengan sekretariat dikendalikan oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Keahliannya masih terbuka kepada ADUN lain di seluruh negara.
Menurut Saifuddin, antara agenda utama KDPP ialah memastikan pengagihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), isu pendanaan politik serta peranan semak dan imbang dapat dilaksanakan secara telus tanpa mengira parti.
Beliau turut menarik perhatian kepada beberapa inisiatif sedia ada di Parlimen seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK), Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM), dan pelbagai Kaukus Parlimen yang menjadi tulang belakang kepada reformasi dasar serta pembentukan undang-undang secara lebih inklusif.
“Platform seperti KDPP penting bukan hanya untuk memperbaiki struktur tadbir urus tetapi juga untuk menyuburkan budaya politik ilmu dan membawa perbincangan dasar ke arah lebih rasional, moderat dan berlandaskan fakta,” jelasnya.
Tambah beliau, penyertaan pelbagai CSO dan golongan profesional dalam platform rentas parti seperti ini menunjukkan keterbukaan dalam amalan demokrasi serta keperluan mendesak untuk politik berasaskan ilmu dan perundingan.
“Dengan penyertaan semua pihak termasuk masyarakat sivil dan ahli politik pelbagai latar, KDPP berpotensi menjadi wadah penting untuk mengurangkan jurang perbezaan politik yang melampau serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette