JOHOR BAHRU – Ketidakpuasan hati MCA terhadap kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan bersama-sama.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO tidak menghalang parti itu memberikan pandangan mengenai situasi politik semasa.
“Mereka ada hak untuk memberi pandangan atau ketidakpuasan hati, tetapi pada akhirnya rakyat yang menentukan satu-satu parti itu wujud, tak wujud, dapat sokongan atau tidak.
“Jadi jawapan (persoalan MCA) itu tidak ada pada UMNO.
“Namun, saya percaya perkara ini (ketidakpuasan hati MCA) memang akan menjadi perhatian pucuk pimpinan.
“Apa yang penting semua pihak sentiasa berjumpa dan berbincang dan bertukar-tukar fikiran antara satu dengan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Negeri (PPN) Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor ke-56 di sini hari ini.
Semalam, Pemuda MCA Johor dilaporkan menyifatkan kerjasama BN dengan PH hanya melumpuhkan BN dari dalam.
Ketua Pemuda MCA Johor, Heng Zhi Li dilaporkan mendakwa, PH bukan mahu menyelamatkan BN menerusi kerjasama tersebut yang dilihat tindakan membuta tuli dan akan menjadikan parti komponen BN tidak relevan, malah membawa gabungan itu ke arah kehancuran politik.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan meluahkan kekecewaan yang semakin dirasai oleh ramai ahli MCA dan penyokong akar umbi berikutan ketidaktentuan hala tuju politik parti itu dalam BN serta dalam kerajaan Perpaduan hari ini.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros dilaporkan menyifatkan kenyataan berkenaan menunjukkan Sin Woon gagal melihat gambaran besar dalam konteks kerjasama BN bersama-sama PH menerusi Kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut dakwaan Pemuda MCA Johor itu, Mohamed Khaled berkata, kerjasama bersama-sama PH membolehkan BN menyertai kerajaan.
“Kerjasama dalam PH memberi ruang kepada BN untuk bersama dalam kerajaan dan apa yang akan kita lalui akan datang (pengagihan kerusi pilihan raya), bila sampai masa kita akan tengok semula,” katanya.- MalaysiaGazette