KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) menyeru rakan komponennya, MCA untuk kembali ke meja rundingan dan berbincang sebagai keluarga demi mempertahankan kerjasama politik yang telah terjalin lebih tujuh dekad lalu.
Setiausahanya, Hafiz Ariffin berkata, biarpun berbeza pandangan dalam politik, ia seharusnya tidak menjadi penyebab kepada hilangnya arah tuju semangat yang telah dibina sejak dahulu.
Ujarnya, MCA telah banyak menerima manfaat daripada kerjasama dan perbezaan antara parti komponen akan membuka ruang kepada pihak lain untuk mengambil kesempatan.
“Kerjasama antara UMNO dan MCA bukan perkara baharu, malah merupakan pakatan politik paling lama dan bersejarah di negara ini, bermula sejak tahun 1952 di bawah panji Parti Perikatan.
“Ia bukan sekadar strategi politik, tetapi satu manifestasi kerjasama antara kaum demi mencapai kemerdekaan dan membina negara Malaysia yang berbilang bangsa.
“Fakta sejarah tidak boleh dipadam dan merujuk kerjasama UMNO-MCA dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur tahun 1952 adalah bukti awal bahawa bila kita bersatu dan berpadu, mampu menewaskan sebarang cabaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ujar Hafiz lagi, golongan pemuda UMNO dan MCA sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam kemenangan besar Perikatan, termasuk dalam Pilihan Raya Umum 1955 apabila MIC turut serta, menyaksikan Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi Parlimen.
“Ia bukan pencapaian kecil, tetapi simbol kekuatan gabungan yang diasaskan atas perpaduan, toleransi dan matlamat kebangsaan yang sama,” jelas beliau.
“Ya, kita kini berada dalam era politik yang kompleks dan mencabar. Namun, janganlah kita membakar jambatan yang telah terbina kukuh lebih tujuh dekad ini. Kita telah membina negara ini bersama, mendepani krisis bersama, dan bangkit semula bersama.
“Pemuda dahulu tidak gentar berdepan cabaran. Hari ini, kita harus mewarisi semangat itu. MCA juga telah banyak menerima manfaat daripada kerjasama ini, bukan sepanjang masa dirugikan.
“Maka, jangan zahirkan perbezaan secara terbuka yang boleh melemahkan semangat perpaduan dalam gabungan ini. Sabar dan hargailah hubungan serta persahabatan,” ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, pemimpin UMNO dan MCA dilihat berbalas kenyataan secara terbuka berhubung rasa tidak puas hati, susulan lebih dua tahun penyertaan gabungan itu dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon sebelum ini menyatakan bahawa parti itu telah memberikan tempoh mencukupi untuk penyusunan semula BN selepas PRU15, namun masih tiada kejelasan dalam hala tuju menyebabkan ahli-ahli MCA berasa kecewa dan ragu-ragu. – MalaysiaGazette