PONTIAN – UMDAP yang merupakan satu simbol sindiran terhadap kerjasama politik UMNO dan DAP didakwa digunakan untuk mengelirukan orang Melayu, malah dijadikan modal kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tuduhan tersebut yang dimomokkan perlu diperbetulkan dengan memberikan pencerahan dan penerangan yang jelas supaya realiti politik itu difahami.
Jelas Ahli Parlimen Pontian itu, gabungan UMNO dan DAP tidak akan boleh membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.
“UMNO dan DAP hanya mempunyai 70 kerusi Parlimen, tidak memboleh membentuk kerajaan, ia memerlukan 112 kerusi dan sekarang Kerajaan Perpaduan mempunyai 153 kerusi Parlimen melibatkan 18 parti gabungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Johor Berhad (KPBPPPJB) di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Pontian di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi KPBPPPJB), Datuk Jemale Paiman.
Mengenai kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam PRK Ayer Kuning, Sabtu lalu, beliau berpuas hati dengan gerak kerja semasa kempen apabila calon BN berjaya meraih majoriti undi 5,006.
Beliau yang juga Ketua Seketeriat War Room UMNO berkata, ini kerana jumlah undi diterima BN pada kali ini meningkat berbanding 2,213 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Jelasnya, ini menunjukkan gabungan jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan memainkan peranan masing-masing dalam membantu kempen calon BN, Dr Muhammad Yusri Bakir.
Beliau berpendapat, faktor Kerajaan Perpaduan juga telah menyumbang kepada kemenangan tersebut, namun mahukan usaha dipertingkat kerana hanya 58 peratus yang keluar mengundi pada PRK Ayer Kuning.
“Terutama bagaimana cara menarik pengundi di kawasan untuk keluar mengundi. Begitu juga faktor pengundi luar yang tidak mengundi, mungkin disebabkan selepas cuti hari raya bukan sahaja orang (pengundi) Melayu tetapi juga Cina dan India,” katanya,
Ahmad berkata, sokongan pengundi Melayu juga perlu ditingkatkan pada pilihan raya akan datang kerana pada PRK Ayer Kuning, BN mendapat 55 peratus undi Melayu.
“Di Ayer Kuning, sokongan pengundi Melayu sekitar 55 peratus kepada BN manakala 45 peratus kepada Perikatan Nasional (PN), perlu ditingkatkan kepada 65 BN dan 35 PN supaya kemenangan lebih besar diperolehi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya mahu Dr Muhammad Yusri yang mendapat mandat rakyat perlu berkhidmat dengan baik dan sentiasa mendekati semua pengundi.
Sabtu lalu, Dr Mohamad Yusri menang PRK Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah meraih keseluruhan 11,065 undi mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek yang memperoleh 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.- MalaysiaGazette
Kemaruk sangat ke nak jawatan TPM, MB, menteri?
Sehingga sanggup bekerjasama dengan sebuah parti chauvanis anti Islam demi jawatan tersebut?
Pengkhianatan anda akan dikenang dan dirakam dalam sejarah tanah air.