KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja Malaysia–Palestin (MPWU) menggariskan tujuh ketetapan utama sebagai deklarasi bersama kesatuan pekerja seluruh dunia.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihak bersuara menentang kezaliman demi menghormati golongan pekerja di seluruh dunia khususnya mereka yang terus bekerja dalam keadaan diserang, dikepung dan dijajah.
Katanya, MPWU menyatakan sokongan padu kepada semua pekerja Palestin yang berjuang di bawah kepungan dan penjajahan.
“Kami mengecam tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel dan pemusnahan terhadap kehidupan awam. (Kita) menolak keterlibatan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kesatuan Eropah dalam menyokong jenayah Israel.
“Kita juga menuntut gencatan senjata segera, penghapusan sekatan ke atas Gaza serta pengiktirafan penuh hak rakyat Palestin serta menyeru gerakan pekerja global melaksanakan aksi solidariti termasuk boikot, penarikan pelaburan dan sekatan terhadap Israel.
“Kita mahu memberi penghargaan kepada ketabahan kesatuan sekerja Palestin yang terus bangkit meskipun berada dalam situasi peperangan selain berikrar untuk membina barisan anti-apartheid pekerja peringkat global demi kebebasan sepenuhnya Palestin daripada penjajahan,” katanya dalam kenyataan sepena Sambutan Hari Pekerja 2025 hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Azmi yang juga Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) berkata, MPWU prihatin terhadap keadaan yang amat kritikal di Gaza dan Tebing Barat, di mana para pekerja dari semua sektor kesihatan, pendidikan, pembinaan, pertanian dan lain-lain sedang disasarkan secara sistematik oleh rejim penjajah Israel.
Katanya, banyak hospital dibom, ambulans dimusnahkan, sekolah diruntuhkan dan infrastruktur awam dilenyapkan.
Beliau menjelaskan, seluruh keluarga pekerja telah terbunuh manakala kelas pekerja Palestin kini bukan sahaja dicekik secara ekonomi, tetapi sedang menghadapi pembunuhan beramai-ramai. – MalaysiaGazette