KUALA LUMPUR – Batik Air diminta pertimbang untuk menanggung kos dan menyediakan perlindungan insurans asas bagi pekerja kru kabin syarikat penerbangan itu.
Kesatuan Kebangsaan Pramugari Malaysia (NUFAM) mendakwa, pihaknya menerima banyak aduan syarikat penerbangan ini enggan menanggung kos klinik luar pesakit bagi para pekerjanya.
Sekretariat NUFAM berkata, tindakan ini memalukan bagi sebuah syarikat penerbangan antarabangsa terkenal yang telah meraih jutaan keuntungan selama bertahun-tahun tetapi gagal menampung manfaat penjagaan kesihatan pekerjanya.
“Kami dimaklumkan pekerja-pekerja yang mengunjungi klinik perlu membayar ubat mereka sendiri. Mengapa pekerja-pekerja ini perlu mengeluarkan wang mereka sendiri? Di manakah rasa empati terhadap pekerja anda?.
“Seharusnya, tiada alasan bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di negara ini untuk tidak menampung faedah penjagaan kesihatan bagi pekerja mereka kerana penting untuk memastikan pekerja kekal sihat setiap kali mereka bekerja,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Lantaran itu, NUFAM menggesa pekerja syarikat penerbangan untuk mengemukakan aduan mereka kepada kesatuan atau Jabatan Buruh jika masalah tidak ditangani oleh syarikat penerbangan tersebut.
Dakwa NUFAM, pekerja kru kabin sering sakit disebabkan jadual penerbangan yang padat dan kebanyakannya bergantung kepada ubat-ubatan tetapi terpaksa menanggung kos untuk rawatan mereka kerana syarikat penerbangan enggan bayar kos rawatan dan ubat.
Para pekerja, dakwanya, tiada pilihan lain selain membayar ubat-ubatan mereka dan terpaksa bekerja walaupun tidak sihat kerana syarikat penerbangan juga akan memotong gaji pekerja jika mereka cuti sakit.
“Jika benar, ini tidak masuk akal dan kami menuntut syarikat penerbangan untuk memberi pampasan dan menanggung bil rawatan pesakit luar pekerja dan jangan paksa pekerja anda untuk terbang jika mereka tidak sihat!,” katanya lagi.
Dalam pada itu, NUFAM meminta Jabatan Tenaga Kerja menyiasat dakwaan ada pekerja tidak dibayar gaji dua kali ganda pada hari cuti umum.
NUFAM dalam kenyataannya memuji ucapan Perdana Menteri sempena Hari Pekerja apabila menekankan agar syarikat tidak mengambil kesempatan dan merampas hak asas pekerja.
Malah, ia menyambut baik ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut syarikat-syarikat untuk menaikkan gaji pekerja dan menyediakan keperluan asas. – MalaysiaGazette