Anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup membuat semakan harga beras di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Para pengguna kini menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan had pembelian beras putih (BPT) 10 kilogram (kg) berharga RM26 kini kepada lima kampit bagi setiap transaksi berbanding dua kampit sebelum ini.

Tinjauan MalaysiaGazette bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDNKL) di sekitar premis Jalan Raja Bot di ibu negara mendapati bekalan BPT mencukupi dan harga dijual masih terkawal.

Gaffar Mohd Hanifa menyusun beras ketika tinjauan di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

Peruncit, Gaffar Mohd Hanifa, 39, yang telah mengusahakan kedai runcit selama 19 tahun berkata, dia kini dapat menarik nafas lega apabila bekalan BPT kembali pulih dan mencukupi untuk jualan kepada pengguna.

“Dalam tempoh dua bulan ini, tiada isu kekurangan bekalan berbanding sebelum ini, alhamdulilah semua mencukupi mengikut jumlah kuantiti yang ingin diperoleh untuk jualan lima kampit seorang.

“Sebelum ini kita memang terpaksa hadkan penjualan, satu keluarga lima kampit sahaja dan harga pun kita masih kekalkan RM26 untuk 10kg dengan empat jenis BPT yang kita sediakan.

“Harapan saya, kalau boleh kerajaan kekalkan jumlah bekalan BPT supaya memudahkan kepada peniaga-peniaga kecil mendapatkan keperluan untuk jana pendapatan mereka,” katanya pada pemberita.

Khalid Ismail

Bagi pengusaha kantin sekolah, Khalid Ismail, 70, berkata, dengan kelonggaran diberikan kerajaan itu memudahkannya memperoleh beras BPT bagi kelansungan perniagaanya.

“Saya berterima kasih pada kerajaan kerana memudahkan kami untuk dapatkan lebih bekalan BPT sebab saya ada dua kantin sekolah dan saya perlu gunakan beras satu hari hampir 50kg, jadi ada kelonggaran macam ini alhamdulilah mudahkan kami,” ujarnya.

Hamzah Horti

Pandangan sama turut dizahirkan peniaga kedai makan, Hamzah Hotri, 63, yang lega apabila tiada lagi had pembelian dua kampit BPT untuk satu keluarga kerana ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan isi rumah.

“Baguslah macam itu sebab sudah boleh beli lebih daripada dua kampit kerana saya beli bukan hanya untuk keluarga sahaja, tapi untuk berniaga juga yang memerlukan kira-kira empat kampit.

“Sebelum ini, masa bekalan terjejas memang amat terkesan sangat sebab kami kena beli beras import yang mahal, beras (BPT) RM26 memang cepat habis tapi alhamduliah kini bekalan dah kembali banyak,” jelasnya.

Seorang pelanggan memilih beras ketika tinjauan di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 MEI 2025

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan, Had pembelian beras putih tempatan 10 kilogram berharga RM26 kini dinaikkan kepada lima kampit bagi setiap transaksi berbanding dua kampit.

Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporka berkata, kelonggaran itu diberikan selepas mengambil kira permintaan dan keperluan semasa pengguna yang memerlukan, khususnya bagi ketua isi rumah (KIR) miskin.

“Sebanyak 3.16 juta kampit beras putih tempatan 10 kilogram telah diagihkan melalui lebih 47,000 premis runcit berdaftar di seluruh negara setakat pertengahan April ini.

“Negeri-negeri seperti Selangor, Kedah, Perak dan Johor mencatatkan jumlah agihan tertinggi. Langkah ini menjadi antara usaha penting kementerian untuk menjamin keterjaminan bekalan beras rakyat secara konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here