KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim atas usaha gigih dan komitmen mereka dalam memastikan Ordinan Buruh (Sabah Pindaan) 2024 berjaya diwartakan dan dikuatkuasakan.
Pengerusi MTUC Sabah, Mohd Airy Arin berkata, pengumuman rasmi pewartaan ordinan tersebut sempena Sambutan Hari Pekerja di Arena Axiata Bukit Jalil merupakan simbol kemenangan buat para pekerja di negeri itu yang telah lama menantikan pelaksanaan pindaan berkenaan.
“Ia memberi kelegaan dan merupakan satu langkah penting ke arah memperkukuh perlindungan hak pekerja di Sabah.
“Langkah ini sejajar dengan piawaian perburuhan semasa serta aspirasi negara untuk mewujudkan suasana kerja yang adil, selamat dan saksama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, walaupun terdapat sedikit kekecewaan berikutan penangguhan penguatkuasaan Bahagian IVA yang disifatkan penting dan asas, pihaknya tetap melihat pewartaan ordinan ini sebagai perkembangan positif.
“Kami percaya pindaan ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja, malah turut memberikan keyakinan kepada majikan dan pelabur terhadap kesungguhan kerajaan memperkasa sektor tenaga kerja di Sabah,” katanya lagi.
MTUC Sabah turut berharap usaha ini akan menjadi titik permulaan kepada penguatkuasaan segera bahagian yang tertangguh serta lebih banyak penambahbaikan terhadap sistem perundangan buruh di negara ini. – MalaysiaGazette