KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan merakamkan penghargaan khas kepada komuniti India di Malaysia atas sumbangan mereka dalam pembangunan negara sempena sambutan Hari Pekerja 2025.
Menurut beliau, masyarakat India telah memainkan peranan penting sejak dahulu lagi dalam pelbagai sektor antaranya perkhidmatan awam, politik, perniagaan, pendidikan, hiburan, makanan dan bidang profesional lain yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan negara.
“Malaysia merupakan sebuah negara dinamik yang dibina atas semangat kerjasama semua kaum. Komuniti India khususnya telah sentiasa berada di barisan hadapan dalam pembangunan dan tadbir urus negara,” katanya kenyataan hari ini.
Ramanan yang turut dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal komuniti India di negara ini berkata, ramai tokoh tersohor dalam pelbagai bidang berasal dari komuniti itu termasuk mereka yang memimpin kesatuan sekerja, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta syarikat-syarikat besar.
“Sempena Hari Pekerja ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan komuniti India dalam memacu kemajuan negara. Kita membina Malaysia ini bersama-sama, itulah kekuatan sebenar nilai perpaduan kita,” katanya.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menegaskan, kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited dalam memperkasa masyarakat India melalui pelbagai dasar dan inisiatif selari dengan semangat inklusif berilhamkan prinsip itu.
Katanya lagi, usaha untuk memastikan masyarakat India terus maju dan tidak terpinggir akan menjadi antara fokus utama dalam dasar pembangunan inklusif yang menyeluruh ketika ini serta masa-masa akan datang. -MalaysiaGazette