Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir

KUALA LUMPUR – Rundingan meja bulat antara Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mewujudkan kerjasama politik bagi mendepani Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah tidak pernah selesai sehingga hari ini.

Ketua Penerangan BN Sabah, Datuk Suhaimi Nasir mendedahkan, walaupun usaha itu cuba dilakukan namun ia sentiasa menemui jalan buntu untuk membawa GRS ke meja rundingan khususnya pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau mendakwa, kegagalan itu timbul berpunca daripada hampir kesemua kerusi yang ‘dibawa lari’ bagi membentuk Kerajaan Negeri Sabah itu kini bertindih dengan kerusi tradisi BN dan Pakatan Harapan (PH) yang dimenangi dalam PRN16 lalu.

“GRS dengan PH, bincang tak pernah selesai berbanding kita BN dengan PH, kita selesai. Sebab kita tak berlanggar (kerusi) tetapi PH dengan GRS pun berlanggar.

“Contohnya SAPP nak langgar kerusi PH. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mustapha Sakmud, dia nak tanding Tempasuk berlanggar dengan GRS. GRS sudah umum siapa calon Tempasuk.

“Belum ada lagi kerjasama dan ikatan (rundingan), dia sudah dia umum awal lagi. Sebenarnya BN-PH tu kita tak berlanggar tetapi dengan GRS, hampir semua pun berlanggar,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Suhaimi selaku Ahli Parlimen Libaran juga berkata, rundingan kerjasama politik itu hanya boleh dilakukan sekiranya GRS sedia memberi laluan kepada BN untuk menjadi dominan di Sabah dan mengembalikan semua kerusi yang ‘dibawa lari’ sebelum ini.

“Isunya daripada GRS, sebab semua (ADUN) lompat di GRS itu, jadi kalau macam sekarang ini, PH nak tuntut kerusi dia, kawasan itu dulu dia menang tetapi di dalam GRS pula yang penyandang, macam mana?

“Kalau kita lihat situasi sekarang ini, GRS mengatakan mereka lebih dominan sebab mereka memegang tampuk kerajaan tetapi kalau dikira suara golongan profesional dan ahli perniagaan, semua cakap lebih baik serahkan balik kepada BN.

“Sebab selama tempoh lima tahun ini, tidak ada apa-apa yang berlaku, kerosakan lebih banyak daripada kebaikan, umum sana, umum sini, semua pun tak jalan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here