KUALA LUMPUR – Seorang lelaki bergelar Tan Sri telah ditahan polis, awal pagi tadi disyaki berperanan sebagai proksi dalam sindiket skim pelaburan MBI International Group (MBI)
Suspek berumur 53 tahun itu ditahan sekitar jam 2 pagi di tepi jalan di sekitar Pulau Pinang selepas dipercayai baru pulang dari luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sumber memaklumkan, suspek disyaki berperanan menjadi rakan kongsi yang menerima wang daripada dalang skim pelaburan terbabit bagi tujuan pengubahan wang haram.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali mengesahkan tangkapan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada sebarang rampasan atau penggeledahan dilakukan terhadap suspek setakat ini.
Tangkapan terbaharu itu adalah susulan kepada Op Northern Star siri kedua yang dilancarkan pada 18 hingga 21 April lalu di sekitar Lembah Klang dan utara tanah air.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan, lima lelaki ditahan termasuk seorang bergelar Tan Sri dan seorang lagi, Datuk Seri disyaki terbabit dengan sindiket pelaburan Ponzi di sebuah negara jiran.
Antara aset yang dibeku dan disita ialah tiga dusun durian di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah yang meliputi keluasan 363 hektar dengan nilai keseluruhan RM223.6 juta.
Pada masa sama, sebanyak 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta serta 12 kenderaan mewah turut disita dan sehingga kini jumlah keseluruhan pembekuan serta penyitaan aset dalam kedua-dua siri operasi itu mencecah RM3.5 bilion. – MalaysiaGazette