Lebih 50 penduduk melakukan piket aman bantah tapak pelupusan haram di Kampung Desa Makmur, Kota Tinggi, hari ini.

KOTA TINGGI – Kira-kira 5,000 penduduk dari 10 kampung berdekatan Kampung Desa Makmur di sini mendesak tapak pembuangan sampah berdekatan ditutup kerana sudah tidak tahan dengan pencemaran bau yang sudah berlarutan sejak 20 tahun.

Mereka mendakwa terpaksa hidup dengan berdepan bau busuk hampir setiap hari dan keadaan tersebut menjejaskan kehidupan dan urusan harian.

Penduduk Kampung Desa Makmur, Hassan Sani Redzuan, 44, berkata, mereka berdepan turut berdepan masalah kesihatan sehingga hilang deria bau, gangguan lalat dan juga masalah kesihatan.

Pesara tentera itu berkata, dia dan tiga anaknya sudah hilang deria bau akibat bau busuk yang kuat sentiasa dihidu dan lebih teruk ketika musim hujan.

Katanya, ketika musim perayaan juga ramai tetamu hanya singgah sebentar dan yang tidak berselera menjamu makanan ekoran bau busuk sampah dan ganguan lalat.

“Tetamu-tetamu datang rumah, semua lari. Pada hari raya kita orang buat jamuan rumah terbuka tetapi bau sampah sahaja. Makanan tak bau. Penduduk-penduduk di sini yang buat rumah, tinggal rumah sahaja ada, penduduk sudah tiada.

“Habis itu macam mana ni? Sampai bila kita nak macam hadap situasi ini? Jadi minta tolonglah siapa-siapa yang berwajib tu minta tolong segerakan tutup tempat ini (pelupusan sampah) itu sahaja.

“Selama ini penduduk sini bersabar, saya duduk sini sudah 15 tahun, makin hari makin kuat, tapak pelupusan sampah itu makin hari semakin tinggi, lebih tinggi daripada surau. Rumah saya sebelah surau, kita nak sembahyang pun susah. Apa macam ni? Sampai bila nak macam ini kan?

“Cuaca panas terik lepas tu hujan lagi teruk bau busuk kami hidu, segala bau menyakitkan hidung ada. Rumah saya memang 24 jam tutup tingkap, kalau buka satu rumah berbau busuk,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas piket aman bantah tapak pelupusan haram yang disertai lebih 50 penduduk di Kampung Desa Makmur di sini hari ini.

Bagi guru, Suhaila Banian, 44, berkata, penduduk juga amat terkesan daripada segi keselamatan apabila lori sampah yang hendak membuang sampah beratur di bahu jalan kiri dan kanan.

Ujarnya, situasi itu dihadapi setiap pagi, sehingga boleh mengakibatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Kawasan ini sangat terpelihara tetapi akhir-akhir ini semakin rancak pembuangan sampah. Apabila kami lalu boleh nampak sampah dibawa lori dari daerah lain Simpang Renggam dan Kluang turut dibuang di sini.

“Tapak sampah ini terletak di tepi jalan utama Jalan Persekutuan Kota Tinggi -Kluang, kalau pagi waktu persekolahan dapat lihat lori sampah menunggu di kiri dan kanan jalan amat berbahaya dan menghalang susur laluan masuk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Semanggar, Juffri Juraimee berkata, pihaknya telah mengumpulkan tandatangan bantahan daripada penduduk dan memorandum itu akan dihantar kepada Menteri Besar Johor.

Mereka meminta tapak pelupusan sampah seluas 35 ekar yang hanya terletak lebih kurang 300 meter dari Kampung Desa Makmur dan 200 meter dari Kampung Sungai Pelepah di sini ditutup dan dipindahkan ke kawasan lain.

Tapak pelupusan itu, katanya, beroperasi di atas tanah kerajaan dan difahamkan tidak pernah diluluskan atau diwartakan sebagai tapak pelupusan sampah oleh kerajaan negeri.

Beliau hairan bagaimana operasi pelupusan sampah boleh dijalankan sedangkan tanah tidak pernah diberi kelulusan.

“Lebih menyedihkan tapak pelupusan ini juga membuat pelupusan sampah dari daerah luar iaitu dari Kluang dan Simpang Renggam yang mana sampah dari kedua daerah tersebut lebih banyak dari sampah yang dihasilkan dari Kota Tinggi.

“Di kala penduduk dari kedua-dua daerah itu menolak untuk diadakan tapak pelupusan sampah di kawasan mereka, penduduk di Kampung Desa Makmur dijadikan mangsa untuk ‘dihidangkan’ pencemaran sampah yang amat menyedihkan.

“Aduan demi aduan telah dikemukakan namun masih tiada sebarang tindakan diambil. Pihak wakil rakyat juga telah membawakan perkara ini namun tiada ada-apa tindakan. Bahkan masalah bau ini juga turut terkesan kepada kampung berdekatan seperti Kampung Lukut juga ada waktunya boleh bau sehingga Taman Kota Jaya.

“Kami sebagai penduduk Kampung Desa Makmur Kota Tinggi dengan ini membantah sekeras-kerasnya tapak ini dijadikan Tapak Pelupusan Sampah di kawasan kami dan meminta pihak kerajaan mengalihkan ke tempat lain yang sesuai,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here