KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) digesa mengukur tahap penerimaan rakyat terhadap mereka sebelum menyatakan hasrat untuk bertanding 40 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tidak salah untuk parti Melayu itu bercita-cita tinggi dalam berpolitik, namun untuk kembali menjadi parti dominan bukan sesuatu yang mudah.
“Tidak salah untuk Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyimpan angan-angan, tetapi seseorang itu akhirnya perlu berpijak di bumi nyata.
“Sebagai salah seorang bekas ketua aktivis politik barisan hadapan UMNO, saya menasihatkan Suhaimi agar kerap turun ke lapangan.
“Suhaimi perlu mendapatkan reaksi rakyat terhadap sokongan mereka kepada UMNO-BN di Sabah ketika ini (sebelum umum jumlah kerusi),” katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan Suhaimi memaklumkan, UMNO-BN akan bertanding di 40 dari 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada PRN17 akan datang.
Suhaimi juga memberi gambaran kononnya UMNO-BN mampu kembali menjadi parti politik yang dominan dan berkeupayaan untuk memerintah Sabah semula dengan kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH).
Zulkarnain juga mempersoalkan kenyataan Suhaimi tentang hasrat UMNO-BN Sabah yang mahu bertanding di 40 kerusi, berbanding PH dengan 33 kerusi sedangkan pimpinan pusat masih membisu.
“Tidak dapat dipastikan sama ada keputusan bertanding 40 kerusi itu dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT UMNO) atau sebaliknya,” katanya.
Selain itu, Zulkarnain juga meragui keupayaan UMNO-BN untuk kembali memerintah di Sabah, sedangkan cubaan kudeta bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) menemui kegagalan sebelum ini.
“Sehingga ke hari ini, saya masih tidak nampak UMNO Sabah akan bangkit semula terutamanya selepas cubaan kudeta bersama Warisan menumbangkan Hajiji menemui kegagalan pada 2023.
“Tambahan pula, dalam PRN16 lalu, Suhaimi sendiri kalah di kerusi N.50 Gum-Gum.
“Kemudian UMNO-BN yang bertanding di 31 kerusi DUN Sabah, hanya menang 14 kerusi dalam PRN16 lalu,” katanya.
Menurut Zulkarnain, UMNO perlu menyedari sikap kasar ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin didakwa menjadi salah satu penyebab rakyat semakin membenci parti Melayu itu.
“Sebagai rakyat Sabah, saya juga tidak berani meletakkan masa depan Sabah di tangan pemimpin seperti Bung.
“Langkah meletakkan Bung sebagai ‘poster boy’ hanya akan mempercepatkan proses menguburkan UMNO di Sabah dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Katanya lagi, keupayaan Kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji untuk menarik pelabur luar memberi kelebihan kepada blok parti itu untuk meneruskan pentadbiran di Sabah dengan lebih selesa.
“Insya-Allah melihat kepada situasi politik terkini dan hasil usaha berterusan kerajaan GRS-PH melalui program menarik pelabur luar yang amat baik.
“Penyelesaian masalah rakyat secara berperingkat, jangkaan penganalisis politik bebas, UMNO-BN berkemungkinan hanya mampu menang tujuh kerusi sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette