Bekas Timbalan Yang di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad bercakap pada sidang media mengenai video tular pemimpin Melaka di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 MEI 2025

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dicabar supaya membuat laporan polis sekiranya benar audio yang tular di media sosial baru-baru ini, bukan suaranya.

Bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, penafian menerusi sidang media tidak memadai untuk menyangkal dakwaan yang bertebaran baru-baru ini.

“Saudara (Rauf), untuk menamatkan cerita (dakwaan), wahai saudara, buatlah laporan polis bagi menafikan suara tular bukan daripada kamu, tapi kalau kamu cuba berdolak-dalih secara terbuka, saya berani mengatakan suara yang tular itu suara Rauf Yusoh.

“Kalau saudara ingat ini satu fitnah untuk merosakkan nama saudara saya cabar saudara buat laporan polis. Nak buat laporan polis tidak sampai 30 minit, berani kerana benar,” katanya Ketika sidang media di ibu kota hari ini.

Mohamad Ali Mohamad bergambar bersama laporan Polis pada sidang media mengenai video tular pemimpin Melaka di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 MEI 2025

Baru-baru ini, media melaporkan tular audio berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial didakwa suara mirip Ab Rauf.

Audio tersebut berlegar sehari selepas Ketua Menteri Melaka tersebut menafikan ada kaitan dengan penahanan Mohamad Ali yang juga merupakan Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 15 April lalu.

Selain itu, dalam sidang media yang sama, Mohamad Ali memaklumkan dia telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 1.30 tengah hari tadi, melibatkan audio itu yang dianggapnya merupakan konspirasi jahat untuk menjatuhkannya.

Beliau turut menamakan tiga nama individu dalam audio tersebut dalam laporan polisnya.

Jelasnya, langkah berkenaan diambilnya dengan harapan pihak polis menyiasat tiga individu yang terlibat dalam audio berkenaan.

“Kepada polis, jalankanlah siasatan seadil-adilnya, rakyat berharap polis dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab demi menjaga keamanan negara kita,” tambahnya.

Selain itu, Mohamad Ali memaklumkan telah menghantar audio berkenaan kepada pakar forensik di tiga buah negara untuk dianalisa.

“Saya hantar kepada pakar forensik di London, Bangkok dan di Jakarta (pada dua hari yang lalu). Saya akan padankan untuk saya pamerkan dan lihat adakah forensik negara kita canggih… Takut nanti ada yang kata suara itu seakan-akan saya macam saya,” tambahnya berseloroh.

Peguam, Rafique Rashid Ali bercakap pada sidang media mengenai video tular pemimpin Melaka di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 01 MEI 2025

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Ab Rauf perlu berani dan terbuka menawarkan dirinya disiasat oleh pihak polis.

“Ada keperluan yang mendesak untuk pihak polis dan pegawai penyiasat, bukan sahaja merakam percakapan Datuk Mohamad Ali tetapi juga merakam dan menyiasat tokoh-tokoh dan individu yang dinamakan (dalam audio).

“Cukuplah kita berhadapan situasi (di mana) pemimpin hanya tampil dalam sidang media ( untuk membuat penafian). Semua orang boleh buat kenyataan, buat penafian.

“Kalau anda pemimpin, letak diri anda sebagai subjek yang disiasat terbuka,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya pihak polis menyiasat laporan yang dibuat oleh Mohamad Ali dengan telus.

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri mempunyai kepakaran di unit forensik untuk analisa suara itu. Sebab itu kita rasakan (tindakan tepat dan berani untuk) Mohamad Ali buat laporan polis.

“Saya menggesa PDRM mesti berlaku adil, kalau ada laporan mesti panggil terutamanya kalau suara itu melibatkan pemimpin negara ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here