KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Malaysia (Armada) menolak sekeras-kerasnya dakwaan Kerajaan Sarawak bahawa Petronas Carigali Sdn Bhd telah menjalankan operasi secara haram di Miri Crude Oil Terminal.
Menurut Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Exco Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage, tuduhan tersebut tidak berasas dan bercanggah dengan kerangka undang-undang sedia ada.
“Akta Pembangunan Petroleum 1974 secara jelas memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia semua aktiviti berkaitan petroleum di seluruh Malaysia termasuk di negeri Sarawak.
“Oleh itu, Petronas tidak sepatutnya memerlukan sebarang lesen atau permit daripada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjalankan operasinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dilaporkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam suratnya bertarikh 30 April menuduh anak syarikat Petronas itu melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Dalam surat itu, Petronas didakwa mengoperasikan MCOT tanpa lesen dikeluarkan negeri dan diberikan 21 hari menyelesaikan perkara berkenaan, jika gagal akan dikenakan penalti kewangan bawah Seksyen 21A.
Dalam pada itu, Na’im mengingatkan pada 1976, satu perjanjian rasmi telah ditandatangani antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang memindahkan hak milik serta kawalan terhadap sumber petroleum negeri tersebut kepada Petronas.
“Maka tuduhan bahawa Petronas telah beroperasi secara haram di Sarawak adalah tidak berasas dan menyalahi fakta perundangan,” ujarnya.
Armada turut melahirkan rasa kesal terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu yang melibatkan Petronas dan kerajaan negeri sambil memberi amaran kegagalan mempertahankan kedudukan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang termaktub boleh membawa kepada kerugian besar kepada negara dan rakyat Malaysia.
“Semua pihak diseru untuk menghormati semangat Persekutuan yang menjadi asas pembentukan negara ini demi kepentingan bersama seluruh rakyat,” katanya lagi. — MalaysiaGazette