Gambar hiasan - Antara bidang pengajian terawal yang ditawarkan oleh Universiti Malaya ketika ia ditubuhkan di Singapura adalah Pengajian Melayu (Malay Studies), para pelajar daripada kalangan pelajar tempatan namun para pensyarah ketika itu adalah orang putih.

Pengajian Melayu sebagai sebuah ‘body of knowledge’ yang tersendiri sudah bermula sejak sebelum merdeka lagi. Lebih tepat ia dibina pada asalnya untuk kepentingan kolonialisme dan imperialisme Barat yang kemudian masyhur dengan istilah Orientalisme.

Secara mudahnya ia adalah suatu bidang kajian khas untuk memahami segala-galanya tentang alam dan manusia dalam tanah jajahan Barat ketika itu. Dalam konteks Tanah Melayu-Malaysia, penjajah tersebut adalah British.

Antara bidang pengajian terawal yang ditawarkan oleh Universiti Malaya ketika ia ditubuhkan di Singapura adalah Pengajian Melayu (Malay Studies), para pelajar daripada kalangan pelajar tempatan namun para pensyarah ketika itu adalah orang putih.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan membentuk Malaysia kemudiannya, UM Kuala Lumpur ditubuhkan maka Pengajian Melayu juga dibawa bersama ke sana. Semakin ramai lulusan Pengajian Melayu daripada kalangan anak tempatan. Mereka kemudian menjadi pakar dalam bidang masing-masing di bawah payung Pengajian Melayu.

Dari sana mula timbul kesedaran bahawa, Pengajian Melayu dan cabang-cabang ilmu yang bernaung di bawahnya tidak boleh lagi terus bergantung kepada epistemologi ilmu Barat semata-mata. Teori, konsep dan pendekatan yang tersendiri perlu dibina bagi membetulkan naratif yang tidak tepat oleh para orientalis tentang Alam Melayu dan masyarakatnya.

Tokoh dan Sekolah Pemikiran Pengajian Melayu

Lulusan generasi Pengajian Melayu di UM Kuala Lumpur kemudian semakin ramai sehingga ke hari ini, namun mereka tidak dapat mengemukakan gagasan yang menggegarkan dunia akademik Barat melainkan dua tokoh awal yang signifikan.

Kedua-dua tokoh ini adalah generasi lulusan UM Singapura yang kemudian melanjutkan pengajian sarjana dan doctor falsafah masing-masing di Barat. Sekembalinya mereka ke tanah air, kedua-dua mereka berkhidmat dengan UM sebelum mengembangkan kerjaya kesarjanaan mereka di pusat pengajian tinggi yang lain.

Tokoh yang dimaksudkan ialah Prof. Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1931- ) dan Prof. Dato’ Dr. Syed Hussein Alatas (1924-2007). Kedua-dua mereka bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya akademik dan lapangan intelektual Malaysia, mereka juga dilihat berjaya membina sekolah pemikiran mereka yang tersendiri dengan dukungan murid-murid dan institusi yang menampung idealisme dan gagasan mereka tersebut.

Sebagai kelahiran Alam Melayu yang kemudian melalui fasa pendidikan secara tradisional sebelum ke sekolah rendah hingga universiti berorientasikan Barat, kedua-dua mereka sedar betapa banyak salah faham dan kekeliruan yang disebarkan oleh para orientalis dengan sengaja atau tidak sengaja tentang Alam Melayu dan umatnya.

Bagi menjawab balas dakwaan orientalis bahawa kaum peribumi di Malaysia, Indonesia dan Filipina adalah masyarakat pemalas, Syed Hussein Alattas menulis sebuah karya yang menjadi antara karya magnum opus beliau yang berjudul The Myth of The Lazy Native. Buku tersebut kemudian diterjemahkan dalam bahasa Melayu dengan tajuk Mitos Peribumi Malas.

Syed Muhammad Naquib al-Attas pula menulis monograf syarahan pengukuhan keprofesorannya di UKM pada tahun 1972 yang bertajuk Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Tesis utama monograf tersebut adalah untuk menjawab balas naratif orientalis dan anak didik mereka yang mendakwa bahawa Islam adalah punca bangsa Melayu menjadi mundur.

Pengajian Melayu Sebagai Medan Oksidentalisme?

Kesedaran dan perbahasan tentang penyahjajahan (decolonialism/deimperialism), penyahbaratan (dewesternization) sebagai alternatif dan jawapan terhadap hegemoni epistemologi ilmu Barat di Malaysia bermula daripada Pengajian Melayu.

Sarjana-sarjana tempatan lulusan Pengajian Melayu dalam bidang budaya, sastera, bahasa, linguistic, dan kesenian mula mengemukakan teori dan pendekatan kajian tersendiri. Sarjana bidang falsafah, sejarah dan peradaban juga mula sedar pentingnya untuk mempunyai sikap dan kerangka kajian tersendiri untuk membetulkan kesendengan para orientalis tentang Alam Melayu.

Paling tidak muncul dua sekolah pemikiran yang siginifikan iaitu gagasan Islamisasi Ilmu (Islamization of Knowledge) oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dan gagasan Ilmu Mandiri (Autonomous Knowledge) oleh Syed Hussein Alattas. Kalau ikutkan bukan hanya mereka berdua menggagaskan kerangka epistemologi ilmu yang diterjemahkan sebagai teori dan pendekatan kajian, namun hanya gagasan kedua-dua mereka yang masih utuh sampai kini.

Kedua-dua tokoh kesarjanaan Pengajian Melayu ini bukan sahaja menulis jujukan karya penting dalam konteks akademik di Malaysia, namun karya-karya mereka adalah rujukan utama dalam konteks akademik dunia pada masa kini khususnya dalam bidang pemikiran, sejarah dan falsafah Islam serta ilmu-ilmu kemasyarakatan.

Tradisi oksidentalisme sebagai wacana balas terhadap orientalisme digerakkan oleh kelompok sarjana daripada Barat sendiri yang tidak senang dengan sikap dan hegemoni ilmu Barat. Ia dimulakan oleh sarjana-sarjana daripada Amerika Selatan yang kemudian disahut juga oleh sarjana-sarjana daripada negara-negara yang pernah dijajah oleh Barat.

Islamisasi Ilmu dan Ilmu Mandiri

Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam rangka memperkembang dan memperkukuhkan gagasan Islamisasi Ilmu dengan serius telah membina institusi khas bernama International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), kini legasi murid dan tradisi kesarjanaan beliau dilanjutkan di Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilization (RZS CASIS), UTM. Karya-karya beliau diterbitkan semula dan sebahagian diterjemahkan oleh penerbit seperti Akademi Jawi Malaysia dan Ta’dib International Foundation.

Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, murid kanan kepada Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mensyarahkan dengan rinci falsafah, konsep dan gagasan Islamisasi ilmu melalui karyanya yang bertajuk Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M. Naquib Al-Attas: Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi Ilmu (2005).

Syed Hussein Alattas pula telah berpindah ke Universiti Nasional Singapura (NUS) semenjak 1967 sekali menjadi ketua jabatan Pengajian Melayu sehingga tahun 1978. Di sana beliau melahirkan murid-murid yang menyambung gagasan Ilmu Mandiri yang masih aktif sehingga kini, selain peminat-peminat gagasan beliau dari serata Malaysia, Singapura dan Indonesia. Karya-karya beliau selain diterbitkan semula, juga diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan diterbitkan oleh Lestari Hikmah.

Bagi memahami dengan lebih lanjut gagasan Ilmu Mandiri, terbitan terbaharu Lestari Hikmah tulisan anak kepada Syed Hussein Alatas iaitu Prof. Dr. Syed Farid Alatas berjudul Hegemoni dan Kemandirian Ilmu (2025) wajib dirujuk. Meskipun ia terbitan terkini, sebenarnya ia adalah siri terjemahan beberapa makalah dalam bahasa Inggeris yang telah diterbitkan oleh jurnal-jurnal tersohor bidang sains sosial.

Kesimpulan

Berdasarkan pemahaman ini, dapat dilihat betapa pentingnya bidang Pengajian Melayu dalam peta sejarah akademik dan kesarjanaan Malaysia. Kejahilan tentang realiti menyebabkan ada sesetengah pihak memperlekehkan bahawa Pengajian Melayu hanyalah tempat pelajar tidak cerdik sambung belajar sebab tidak dapat masuk kursus sains dan teknologi. Sebahagian pula menganggap bahawa, Pengajian Melayu hanya membahaskan tentang tatabahasa dan sastera Melayu sahaja. Sebenarnya bidang Pengajian Melayu melangkaui disiplin-disiplin tersebut.

Penulis ialah Felo Penyelidik Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKKM) Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here