KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Johari Shukri Jamil sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 2 Mei 2025.
Johari berpengalaman luas melebihi 28 tahun dalam sektor korporat dan kepimpinan merangkumi hartanah dan pembinaan, pelaburan hartanah, pembangunan perindustrian, logistik, minyak dan gas serta kejuruteraan.
Pencapaian beliau dalam perubahan transformasi dan penciptaan nilai akan menjadi tunjang utama mengemudi fasa pertumbuhan UDA.
Tan Sri Mohd Annuar Zaini, Pengerusi UDA mewakili barisan Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Johari serta mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang telah memberikan persetujuan lantikan ini.
“Johari diharapkan berupaya menyuntik idea dan pembaharuan menerusi dimensi, kaedah dan pendekatan baharu selain mengutamakan objektif asal penubuhan UDA untuk memenuhi agenda pembangunan sosial dan ekonomi Bumiputera,” tambah beliau lagi.
Sebelum menyertai UDA, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan PASDEC Holdings Berhad dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd. iaitu pengurus aset Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT).
Beliau berjaya memacu Hektar REIT melalui fasa pemulihan pasca pandemik, menerajui agenda pertumbuhan dan kepelbagaian sekali gus memulihkan keuntungan syarikat tersebut, selain diiktiraf sebagai Malaysia Top Achiever 2023 bagi CEO of The Year, Leadership Excellence In REIT Management anjuran The Leaders Online.
Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh Johari termasuk Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Transformasi di Iskandar Investment Berhad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EA Technique (M) Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tanjung Langsat Port Sdn. Bhd., serta pelbagai jawatan kanan dalam beberapa syarikat Johor Corporation. – MalaysiaGazette