Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) secara terbuka menjemput Liga Mahasiswa mengadakan sesi dialog berstruktur demi membincangkan masa depan sistem pembiayaan pendidikan tinggi negara.

Ketua Penerangan AMH, Ammar Atan berkata, dialog itu bukan sahaja menjadi medan mendengar aspirasi mahasiswa tetapi juga platform menyelaras usaha kolektif demi memperkukuh hak dan kebajikan mahasiswa serta kebebasan akademik.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menambah, pihaknya sedia menyampaikan dapatan perbincangan itu kelak kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Dalam masa yang sama, AMH menyeru Liga Mahasiswa untuk bersama menggerakkan usaha pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang telah lama menyekat ruang bersuara, berorganisasi dan berfikir secara aktif di kampus.

“Pembubaran AUKU adalah prasyarat penting untuk melahirkan generasi mahasiswa yang kritikal, progresif dan berani menyuarakan kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, sekumpulan mahasiswa menggunakan platform perarakan Hari Pekerja hari ini untuk menggesa kerajaan memansuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan memperkenalkan bayaran minimum RM1,700 sebulan kepada pelatih industri.

Koordinator Liga Mahasiswa Malaysia, Alyaah Hani Anuar mendakwa, beberapa pimpinan kerajaan kini lupa kepada janji ketika mereka bergelar aktivis mahasiswa yang pernah menuntut pemansuhan PTPTN.

Sementara itu, merujuk kepada tuntutan pemansuhan PTPTN, Ammar berkata, sebagai sayap anak muda yang konsisten memperjuangkan pendidikan berkualiti dan inklusif, pihakanya berpandangan isu tersebut mesti ditangani secara menyeluruh, berteraskan prinsip keadilan dan kelestarian negara.

Jelas beliau, reformasi terhadap PTPTN dan AUKU adalah langkah penting ke arah sistem pendidikan tinggi yang memanusiakan, membebaskan dan memartabatkan mahasiswa Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here