KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal kargo disyaki membawa muatan 150,000 liter petrol tanpa kebenaran ditahan di kedudukan 9.5 batu nautika dari barat laut Tanjung Bidadari, Sabah.
Kapal ditahan pada 5.15 petang semalam oleh Kapal Maritim (KM) Peringgi ketika melaksanakan Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara Covid-19 dan Op Tiris di kawasan berkenaan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kapal kargo itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum KM Peringgi menghampiri untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan mendapati kapal kargo itu dikendalikan seorang tekong dan empat awak-awak yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Filipina, berusia antara 22 hingga 64 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal kargo itu membawa muatan disyaki minyak petrol kira-kira 150,000 liter tanpa sebarang kebenaran bertulis,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, kapal dan semua kru termasuk tekong ditahan bagi tindakan lanjut kerana dipercayai melanggar peruntukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Muhamad Suhairy menegaskan Maritim sentiasa komited untuk membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan di perairan negara.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang cuba mengaut keuntungan secara haram melalui aktiviti penyeludupan,” katanya. – MalaysiaGazette