GEORGETOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan pelaksanaan undang-undang yang mewajibkan paparan harga ubat bermula semalam sebagai langkah penting ke arah ketelusan, akauntabiliti dan pemerkasaan pengguna dalam sistem kesihatan negara.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, undang-undang ini bertujuan menangani isu ketelusan harga dan perbezaan harga yang ketara antara fasiliti yang telah lama merugikan pengguna.
“Peraturan ini adalah mekanisme paparan harga dan tidak harus disalah anggap sebagai kawalan harga. Pengguna berhak mendapat maklumat, membuat pilihan serta dilindungi dalam penggunaan sesuatu barangan, lebih-lebih lagi dalam hal melibatkan ubat-ubatan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil langkah tepat apabila menguatkuasakan peraturan ini, yang membolehkan pengguna membandingkan harga ubat, merancang perbelanjaan kesihatan serta mengelak daripada dikenakan caj berlebihan.
“Tambahan pula, kadar inflasi perubatan negara yang kini mencecah 15 peratus memerlukan langkah ini untuk membendung kenaikan harga ubat yang tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kenyataan media itu dibuat bersama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL).
Tambah Mohideen, isu paparan harga ubat tidak wajar dikaitkan dengan pendapatan atau kelangsungan klinik swasta.
Jelasnya, pendapatan doktor bergantung kepada yuran konsultasi dan kos operasi bukan daripada keuntungan tersembunyi menerusi penjualan ubat.
“Paparan harga ini hanya memberi maklumat kepada pengguna dan tidak menjejaskan profesionalisme atau kelangsungan pendapatan pengamal perubatan.
“Sehubungan itu, CAP menggesa semua penyedia perkhidmatan kesihatan mematuhi undang-undang ini demi kepentingan pengguna dan menyokong usaha KPDN serta Kementerian Kesihatan dalam memantau pelaksanaannya.
“Orang ramai juga diseru untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan agar sistem penjagaan kesihatan negara menjadi lebih adil, telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette