KUALA LUMPUR – Pengurusan Penang FC menegur First Instance Body (FIB) berhubung keputusan melanjutkan tarikh akhir untuk memuat naik dokumen pelesenan kelab sehingga 10 Mei ini.
Penang FC juga mendesak badan bebas itu agar lebih menghargai kelab-kelab yang telah menunjukkan disiplin dan profesionalisme dengan mematuhi tarikh akhir tanpa gagal.
Kelab utara itu turut menzahirkan kebimbangan serius bahawa kecenderungan memberi kelonggaran berulang kali bakal memberi kesan buruk kepada ekosistem bola sepak negara.
Walaupun memahami cabaran yang dihadapi oleh sesetengah kelab, Penang FC berkata, amalan melanjutkan tarikh akhir secara berulang adalah satu langkah ke belakang dan boleh menggalakkan sikap sambil lewa terhadap pematuhan peraturan liga.
“Kelonggaran yang tidak dikawal hanya akan menggalakkan kelab-kelab bermasalah untuk terus menangguhkan penstrukturan kewangan dan pentadbiran yang sepatutnya diselesaikan segera.
“Tanpa ketegasan terhadap tarikh akhir, krisis kewangan yang membelenggu sesetengah kelab akan terus membarah, menjejaskan operasi harian, kebajikan pemain dan pegawai, keyakinan penaja serta sokongan akar umbi yang menjadi nadi bola sepak tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab itu di sini.
Penang FC turut meluahkan rasa terkilan apabila usaha gigih kelab-kelab yang mematuhi syarat pelesenan dalam tempoh ditetapkan seolah-olah tidak dihargai, apabila tiada bentuk insentif atau pengiktirafan diberikan.
Malah, kelab itu menyifatkan lanjutan tarikh akhir sebagai ‘tamparan hebat’ yang mencalarkan prinsip kesaksamaan dalam saingan liga.
“Membenarkan kelab yang gagal memenuhi keperluan asas pelesenan untuk terus bertanding bukan sahaja mencetuskan ketidakseimbangan, malah menjejaskan kredibiliti Liga Malaysia (Liga-M) di mata umum.
“Ia memberi isyarat yang salah bahawa komitmen dan pematuhan boleh dikompromi,” tegas kenyataan tersebut.
Penang FC turut memberi amaran bahawa budaya memberi kelonggaran secara rutin berpotensi menjejaskan piawaian bola sepak Malaysia di peringkat serantau.
“Langkah ini turut mencemarkan reputasi negara dalam konteks pelesenan kelab di bawah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), serta menghalang usaha memperkukuh tadbir urus dan profesionalisme dalam pengurusan kelab,” ujarnya.
Penang FC menegaskan komitmennya terhadap integriti, ketelusan dan profesionalisme, sambil merayu agar FIB lebih menghormati dan menghargai kelab-kelab yang mematuhi peraturan dengan penuh tanggungjawab.
“Penang FC merayu agar FIB mula mengangkat dan menghormati kelab-kelab yang berusaha keras mematuhi peraturan, demi memelihara maruah dan masa depan bola sepak Malaysia yang lebih berdaya saing dan berwibawa,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette