PETALING JAYA – Pemberian pengecualian visa selama 90 hari kepada pelancong dari China tidak bermakna mereka boleh tinggal di Malaysia secara berterusan selama tiga bulan.
Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa di bawah polisi ini, pelancong China hanya dibenarkan tinggal di Malaysia secara berterusan selama maksimum 30 hari dan perlu meninggalkan negara selepas tempoh tersebut.
Walau bagaimanapun, mereka dibenarkan untuk masuk semula ke Malaysia.
Jumlah terkumpul hari lawatan tanpa visa yang dibenarkan adalah maksimum 90 hari, tetapi terdapat juga tempoh maksimum 30 hari untuk setiap lawatan.
Jabatan Imigresen dijangka akan membuat pengumuman rasmi mengenai kaedah pengiraan tempoh lawatan tanpa visa ini bagi mengelakkan sebarang salah faham.
Malaysia dan China telah bersetuju untuk melanjutkan program pengecualian visa bagi tempoh 90 hari secara bersama untuk tempoh lima tahun lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan bahawa persetujuan ini dicapai melalui memorandum persefahaman semasa kunjungan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini.
China juga bersetuju untuk melaksanakan pengecualian visa yang sama secara timbal balik.
Pengumuman ini bagaimanapun menimbulkan kebimbangan dalam kalangan wakil perusahaan yang khuatir terdapat warga China yang akan menyalahgunakan kemudahan pengecualian visa untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.
Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Liew Bin berkata, walaupun pelanjutan pengecualian visa ini positif untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meningkatkan aktiviti pelancongan, namun polisi ini juga dikhuatiri akan mengundang kemasukan warga China untuk melakukan perniagaan jangka pendek tanpa pendaftaran yang sah.
Menurut beliau, disebabkan sekatan perdagangan yang dihadapi oleh China di Amerika Syarikat, banyak produk perniagaan perlu dipasarkan ke destinasi alternatif.
Beliau menjelaskan bahawa dasar perdagangan Malaysia yang mesra mungkin menjadi sasaran lambakan produk, dengan pelawat mengambil kesempatan daripada pengecualian visa untuk berjualan di negara ini. – MalaysiaGazette