KUALA LUMPUR – Tawaran 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Pakatan Harapan (PH) untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah adalah berdasarkan strategi agihan kerusi jika kerjasama Barisan Nasional (BN)-PH dimuktamadkan.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, tawaran itu terbuka kepada rundingan dan sekiranya tiada persetujuan bersama, ruang perbincangan dengan mana-mana parti lain yang sedia bekerjasama dengan BN sentiasa terbuka.
Selain itu, katanya, sebarang kerjasama baharu termasuk dalam bentuk ‘BN-PH Plus’ juga akan dibincangkan secara telus dan menyeluruh.
“Namun, satu perkara yang tidak akan berubah adalah pendirian bahawa BN tidak akan bertanding dalam keadaan lemah atau sebagai parti minoriti.
“BN kekal dengan prinsip untuk menjadi parti dominan dalam mana-mana gabungan kerana kami percaya kepada rekod, kekuatan akar umbi, serta komitmen kami terhadap agenda rakyat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Media sebelum ini melaporakan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengesahkan BN Sabah akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN pada PRN-17 Sabah, manakala baki 33 kerusi lagi diberikan kepada PH.
Bagaimanapun, kenyataan Suhaimi itu disangkal Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin yang menegaskan tiada sebarang perbincangan rasmi atau tidak rasmi melibatkan bilangan agihan kerusi dibuat antara BN dan PH setakat ini.
Sementara itu, mengulas penafian Razeef tersebut, Datu Rosman berkata, kenyataan itu bersifat peribadi dan tidak mewakili keseluruhan pendirian PH.
Ujarnya, rundingan yang dijalankan oleh BN adalah dengan pimpinan tertinggi PH secara kolektif, bukan dengan satu-satu parti komponen seperti PKR semata-mata.
“Oleh itu, mana-mana kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan KEADILAN harus dilihat dalam konteks pandangan parti itu sendiri, bukan sebagai keputusan bersama PH,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak menghormati proses rundingan menjelang PRN-17 Sabah itu yang sedang berjalan.
“Kerjasama politik harus dibina atas dasar kepercayaan, kematangan dan hormat-menghormati antara semua pihak yang berkepentingan,” katanya. – MalaysiaGazette