KEJADIAN ribut pasir yang didakwa sedang menuju ke wilayah Israel. - Foto NDTV

TEL AVIV – Selepas kebakaran hutan besar yang melanda kawasan tengah Israel, negara itu kini berdepan dengan kejadian ribut pasir kuat yang melanda kawasan selatannya sejak semalam.

Memetik laporan portal berita Minanews, bencana itu menyebabkan jarak penglihatan berkurangan secara mendadak, terutama di Gurun Negev.

Rakaman yang disiarkan oleh Saluran 12 Israel, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Anadolu, menunjukkan bandar gurun Beersheba perlahan-lahan diliputi oleh awan debu yang menjulang tinggi.

Dalam satu lagi video yang tular di media sosial, tentera Israel bergelut untuk menutup pintu pagar pangkalan tentera Shivta ketika angin kencang melanda kawasan itu.

“Inilah keadaan Pangkalan Shivta di Negev malam ini dalam keadaan ribut pasir yang luar biasa kuat,” lapor saluran tersebut, menggambarkan keadaan ekstrem yang melanda wilayah itu.

Sementara itu, di sebalik kejadian ribut pasir tersebut, bencana kebakaran hutan masih lagi marak di kawasan tengah antara Baitulmaqdis dan Tel Aviv.

Angin kencang memburukkan lagi bencana itu, menyebabkan api merebak dengan pantas dan menyukarkan usaha pemadaman kebakaran.

Sebagai maklum balas terhadap dua bencana tersebut, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengisytiharkan darurat kebangsaan dan mengarahkan anggota tentera membantu usaha mengawal kebakaran hutan, terutamanya di kawasan berbukit sekitar Baitulmaqdis.

Media antarabangsa sebelum ini turut melaporkan, Israel terpaksa melancarkan kempen diplomatik menyeluruh dengan menghubungi lebih 12 negara untuk meminta bantuan memadamkan kebakaran hutan terbesar dalam sejarah negara tersebut.

Kenyataan pejabat Menteri Luar Israel memaklumkan, negara itu telah menghubungi Britain, Perancis, Republik Czech, Sweden, Argentina, Sepanyol, Macedonia Utara dan Azerbaijan bagi memohon bantuan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here