Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengumumkan kadar subsidi bagi telur akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, Tinjauan lensa MalaysiaGazette di Chow Kit, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 30 APRIL 2025

PETALING JAYA – Penternak telah mencapai persetujuan dengan kerajaan untuk memperkenalkan telur ayam ‘gred istimewa’ jika harga makanan itu melonjak secara mendadak.

Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan golongan B40 mampu menikmati telur walaupun semasa harganya tinggi.

Beliau berkata, telur istimewa itu adalah sama seperti telur gred D dan akan dijual di Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah sekiranya keadaan memerlukan.

Jelasnya, dengan pemansuhan subsidi untuk telur, harganya di pasaran akan ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

Menurutnya, penawaran dari ladang adalah mencukupi dan stabil pada masa ini, justeru orang ramai tidak perlu bimbang akan berlaku kekurangan telur.

“Kenaikan harga telur secara mendadak hanya akan berlaku apabila berlaku kejadian besar yang menyebabkan pengurangan pengeluaran,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa kawalan harga dan subsidi telur ayam akan ditamatkan secara berfasa sebagai langkah penyasaran semula subsidi di bawah inisiatif Kerajaan Madani.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam satu kenyataan memaklumkan, kadar subsidi telur ayam akan dikurangkan daripada RM0.10 kepada RM0.05 sebiji pada 1 Mei, manakala pemberian subsidi sepenuhnya akan ditamatkan pada 1 Ogos depan.

Yoon Yeau berkata, kos bahan mentah penternakan peringkat global telah menurun, sekali gus menyebabkan penurunan kos pengeluaran dan seterusnya pemansuhan subsidi.

Katanya, penternak boleh menikmati keuntungan pada paras harga runcit semasa, walaupun kadar keuntungan itu tidak besar.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia, Hong Chee Meng memberitahu Nanyang Siang Pau, beliau berharap kerajaan akan segera mengaktifkan semula subsidi jika harga telur melonjak.

Beliau juga tidak bersetuju dengan pemansuhan subsidi pada masa ini kerana adalah sukar untuk menjangkakan keadaan pasaran telur.

“Kerajaan mungkin memansuhkan subsidi selepas menyedari bahawa terdapat lebihan di pasaran dan harga telur telah jatuh.

“Tetapi jika berlaku kekurangan di pasaran atau harga makanan ayam meningkat, harga telur di pasaran juga akan melonjak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here