BILBAO, Sepanyol – Manchester United semakin hampir ke final UEFA Europa League (UEL) selepas beraksi cemerlang menewaskan Athletic Bilbao dalam aksi separuh akhir pertama awal pagi tadi.
Kapten, Bruno Fernandes muncul wira apabila meledak dua gol ketika United menampilkan aksi berdisiplin di gelanggang lawan yang beraksi 10 pemain 3-0.
Casemiro membuka tirai jaringan menerusi tandukan sebelum penyokong tuan rumah berang apabila pertahanan Athletic, Daniel Vivian dibuang padang kerana menarik Rasmus Hojlund dan Fernandes menyepak masuk penalti.
Fernandes kemudian merembat masuk gol ketiga sebelum rehat ketika pasukan kendalian Ruben Amorim semakin menghampiri final, yang akan diadakan di gelanggang Athletic, Stadium San Mames.
Menghuni di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara kini menjadi buruan buat United sekiranya menjulang Liga Europa yang menawarkan peluang untuk mengaut £100 juta (RM573 juta).
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Tottenham Hotspur turut hampir menempah tiket ke final UEL menang 3-1 ke atas kelab Norway, Bodo/Glimt di tempat sendiri. – Agensi