Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berucap sempena Ceramah Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di IDCC, Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 21 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyamakan Pas sebagai parti yang tidak mampu “move on” dan cemburu terhadap hubungan UMNO-DAP bukan sahaja dangkal tetapi melupakan sejarah perjuangan Islam yang konsisten dibawa oleh Pas sejak sekian lama.

Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, politik ialah medan untuk mempertahankan prinsip dan ia adalah sesuatu yang parti itu tidak pernah kompromi walau bagaimana getir sekalipun ujian politik yang mendatang.

Jelas beliau, yang sebenarnya memutuskan hubungan Pas dan DAP pada tahun 2001 ialah DAP sendiri apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri daripada Barisan Alternatif (BA) pada 22 September 2001

Ia selepas parti itu gagal memaksa Pas menggugurkan perjuangan menegakkan negara Islam sebagai asas utama perjuangan Pas.

“PAS kekal tegas sejak dahulu. Di bawah kepimpinan almarhum Datuk Fadzil Noor, keputusan jelas dibuat: “Pas tidak akan sesekali menggadaikan prinsip Islam hanya kerana desakan DAP”.

“Prinsip menegakkan negara Islam tetap dipertahankan, walau harga yang dibayar adalah perpecahan gabungan. Kita tidak tunduk kepada DAP, apatah lagi menjilat semula ludah kita demi kuasa!

“Terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) juga berpunca daripada kebencian DAP terhadap perjuagan Islam yang Pas bawa. Bukan lagi rahsia pada 30 April 2014, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dengan angkuhnya menyatakan bahawa Pas tiada tempat dalam PR jika terus memperjuangkan hudud.

“Lim Guan Eng pula pada 10 Disember 2014 mengugut akan memecahkan PR jika Pas terus membawa usul hudud ke Parlimen. Dan pada 26 Disember 2017, beliau dengan sombong menyatakan bahawa DAP memutuskan hubungan dengan pimpinan Pas selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz. Inilah wajah sebenar DAP, menghina perjuangan Islam Pas tanpa rasa malu,” tulisnya di Facebook miliknya di sini hari ini.

Justeru, tegas Ahmad adalah satu pembohongan besar untuk menuduh Pas kononnya “mensucikan” DAP sedangkan hakikatnya, parti itu yang membuka pekung sikap anti-Islam DAP ke pengetahuan umum dan Pas tidak akan berhenti menegur walau siapa pun yang bersekongkol dengan musuh prinsip Islam.

“Pas tidak gentar kehilangan rakan politik. Apa yang lebih kami takuti ialah mengkhianati amanah Allah dan umat Islam. Biarlah ditinggal atau ditohmah, asalkan tidak tergelincir dari landasan Islam yang kami pegang sejak mula.

“Pas tidak pernah cemburu. Pas tegas. Kami tidak berdendam tetapi kami tidak melupakan. Ketika UMNO sendiri suatu ketika dahulu menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja-Raja, kini mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama.

“Maka soalnya: siapa sebenarnya yang tidak mampu “move on”? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa?,” katanya lagi.

Idris menambah sekiranya, Pas menolak DAP, itu berlandaskan rekod penentangan DAP terhadap pelaksanaan syariah di mana kenyataan-kenyataan yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan kedegilan DAP mempertikaikan perkara-perkara asas Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu dan institusi Islam.

Soalnya, adakah pendirian tegas ini satu bentuk “penunggang agama” atau bukti kesetiaan terhadap prinsip perjuangan?

“Khaled Nordin cuba memutar sejarah apabila mendakwa Pas yang “mensucikan DAP” melalui kerjasama dahulu. Bezanya jelas – kerjasama Pas dengan DAP pada masa lalu adalah bersyarat, penuh peringatan dan ditegur secara terbuka.

“Apabila DAP melanggar sempadan, Pas tegas memutuskan hubungan walaupun perlu membayar harga politik yang mahal.

“Sebaliknya hari ini, UMNO bersekongkol tanpa teguran, tanpa syarat dan lebih menyedihkan  tanpa prinsip. Malah kemenangan di Ayer Kuning dijadikan hujah untuk “mensucikan” DAP dan menghalalkan kerjasama jangka panjang. Apakah politik Melayu-Islam kini diletakkan di bawah tapak kaki kepentingan jangka pendek?” soalnya.

Idris berkata, Khaled menyindir kononnya Pas meletakkan fatwa bahawa haji dan umrah boleh ditangguhkan demi pilihan raya.

“Saya minta sahabat saya DS Khaled, dengar elok-elok isi kandungan ceramah Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Sebagai seorang kelulusan undang-undang sewajarnya faham elok-elok bukan macam CT PH Umdap yang hanya baca tajuk sahaja.

“Saya tidak mahu menghuraikan perkara ini boleh rujuk banyak tulisan berkenaan dengan perkara ini oleh para ulamak lain.

“Kami tidak menolak muafakat. Tetapi biarlah muafakat itu diasaskan atas dasar taqwa, amanah dan kebenaran. Jika muafakat itu dibina atas pengkhianatan terhadap janji politik dahulu, pengabaian terhadap sentimen akar umbi Melayu dan penghalalan musuh prinsip demi kelangsungan, itu bukan muafakat – itu penggadaian.

Idris turut memberi jaminan Pas tidak perlu “move on” daripada prinsip Islam dan parti itu tidak akan menukar arah kerana tekanan atau kecaman.

Tegasnya, Pas  “hold on” (berpegang teguh) kepada perjuangan menegakkan Islam dalam ruang demokrasi, berlandaskan syura dan akhlak Islam.

“Jika itu dilihat sebagai cemburu, maka ketahuilah – kami lebih rela dicemuh kerana berpegang pada prinsip, daripada dipuji kerana menjual maruah perjuangan.

Kalau umur kita panjang kita akan lihat, nasib yang akan dihadapi oleh Umno apabila mereka berkongkol dengan Dap.

“Kami sudah ada pengalaman, bagaimana orang melayu tidak boleh menerima kami waktu kami bersama Dap. Jangka pendek ya, tapi jangka panjang tidak. Perkara inilah yang ditanam oleh Umno kepada orang melayu, sejak negara merdeka. PAS pun mendapat tempias ketika bersama Dap.

“Pencapaian Umno di kerusi parlimen dalam PRU semakin merosot, ini dalam keadaan Umno menolak Dap. PRU 2013 78 kerusi, PRU 2018 54 kerusi, PRU 2022 26 kerusi

“Mungkin pemimpin Umno hanya memikirkan untung jangka pendek. Boleh jadi menteri, menteri besar, exco, GLC, ahli majlis, JKK, dapat projek. Jika itu perhitungan maka sila kan.

“Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Ali Imran: 103),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here