KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong selepas kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025, semalam.
Anwar melalui satu hantaran di laman sosial Facebook menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu permulaan baharu kepada kepimpinan Wong dan barisan pentadbirannya.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada anda dan pasukan anda dalam meneruskan tanggungjawab kepimpinan bagi penggal baharu ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar turut menegaskan Malaysia dan Singapura berkongsi kemakmuran dan keselamatan bersama yang tidak dapat dipisahkan bukan sahaja kerana faktor geografi, tetapi juga hubungan kekeluargaan serta kerjasama rapat kedua-dua negara.
“Kita sedang membina kerjasama mendalam di semua peringkat di mana ia adalah satu asas penting dalam menghadapi cabaran besar terhadap sistem global dan perdagangan antarabangsa,” tambahnya.
Beliau turut menyentuh potensi kerjasama dua hala melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang disifatkan sebagai peluang besar untuk membuktikan keupayaan negara berjiran mencapai kejayaan bersama menerusi iltizam dan visi serantau.
“Kami akan menantikan peluang untuk memperkukuh hubungan istimewa ini pada masa akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette