NIBONG TEBAL – Dua penunggang maut selepas motosikal ditunggangi mereka dipercayai bertembung sebelum terbakar dalam kemalangan di Jalan Sungai Kechil di sini, tengah malam tadi.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, seorang mangsa maut ditempat kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan meninggal dunia di hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden yang membabitkan kedua-dua lelaki berusia 40-an itu pada jam 12.16 tengah malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita dapati kemalangan itu melibatkan dua buah motosikal dan 80 peratus kenderaan tersebut musnah dijilat api.
“Seorang mangsa didapati melecur, cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak petugas kesihatan.
“Manakala seorang lagi mangsa yang cedera dan melecur pada badan sebanyak 50 peratus disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah beliau, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.32 tengah malam dan operasi tamat jam 1.25 pagi. – MalaysiaGazette