P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Perebutan kuasa pengganti dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa menjadi punca utama spekulasi peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang kini ‘bercuti’.

Pengerusi Urimai, P. Ramasamy menyifatkan isu dalaman PKR sebenarnya jauh lebih kompleks daripada sekadar pemilihan dalaman parti itu.

“Punca utama kepada pergeseran ini ialah perebutan kuasa pengganti dalam PKR. Mengikut hierarki parti, Rafizi sebagai timbalan presiden dilihat ramai sebagai pengganti semula jadi kepada Anwar.

“Telah lama wujud spekulasi bahawa Anwar mempunyai rancangan lain. Sama ada beliau sedang mempersiapkan anak perempuannya, Nurul Izzah, atau seorang lagi setiausaha yang dipercayainya, masih belum jelas.

Namun yang semakin ketara ialah Rafizi bukan pilihan utama Anwar sebagai pengganti,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khabar angin sedang bertiup kencang dalam kalangan politik Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR mungkin berada di ambang untuk meletakkan jawatan.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, Ramasamy mendakwa, Rafizi baru-baru ini telah bertemu dengan penyokong rapatnya dan memberi bayangan tentang kemungkinan untuk berundur.

Ia sebagai reaksi kepada keputusan pemilihan parti baru-baru ini, yang menyaksikan ramai sekutunya diketepikan daripada jawatan kepimpinan.

Katanya, Rafizi dijangka akan membuat pengumuman mengenai masa depannya pada hujung Mei, sebaik sahaja beliau kembali daripada cuti.

Mengulas lanjut, Ramasamy mendakwa, Anwar mungkin masih berhasrat untuk terus berkhidmat sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal lagi, dan berusaha untuk mengenepikan Rafizi dalam proses tersebut.

Jelasnya, peminggiran ini dapat dilihat dalam pelantikan Kabinet Persekutuan.

Walaupun Rafizi dilantik sebagai Menteri Ekonomi, portfolio itu dianggap tidak mempunyai kuasa sebenar, kerana dasar ekonomi utama masih dikawal oleh Kementerian Kewangan dan agensi-agensi lain.

Bahkan, dakwanya, plantikan Rafizi ke kementerian yang dianggap “tumpul” itu lebih merupakan isyarat simbolik ke atas usaha Anwar untuk memuaskan hati timbalannya tanpa memberi kuasa sebenar.

Ia kerana, peranan yang lebih sesuai seperti Menteri Dalam Negeri lebih mencerminkan kedudukan dan sokongan Rafizi dalam parti, sebaliknya, jawatan penting itu diberikan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, setiausaha Anwar yang tewas dalam pilihan raya umum.

Beliau berkata, tidak seperti Saifuddin, Rafizi mempunyai sokongan akar umbi yang kuat dan dilihat ramai sebagai pemimpin yang berpandangan jauh dan berprinsip.

Tetapi, dakwanya, peminggiran Rafizi semakin jelas kelihatan disengajakan—langkah untuk menghalangnya daripada menjadi pencabar serius kepada jawatan presiden parti.

Dalam satu ironi sejarah, Anwar kini dilihat mengulangi strategi yang pernah digunakan terhadapnya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ramasamy berkata, dari segi ideologi, visi Rafizi terhadap PKR sangat berbeza dengan kepimpinan semasa kerana Timbalan Presiden PKR itu mahu menghalakan parti ke arah benar-benar pelbagai kaum dan berteraskan reformasi.

Namun, pendekatan inklusif ini dilihat semakin tidak digemari oleh kelompok sekeliling Anwar, yang kelihatan lebih cenderung mengubah PKR menjadi parti mono-etnik, seakan-akan UMNO, Pas, atau Bersatu.

“Perubahan haluan ini menimbulkan kebimbangan yang lebih besar mengenai masa depan reformasi politik di Malaysia. Jika Rafizi disisihkan atau dipaksa keluar, ini akan menandakan satu pengunduran daripada etos pelbagai kaum asal PKR dan satu pengkhianatan terhadap idealisme progresif yang diharapkan oleh ramai rakyat Malaysia daripada pentadbiran Anwar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here