etua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.
Ketua Penerangan Pemuda Pas Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menyifatkan seruan supaya rombakan dilakukan dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai satu wake-up call yang tepat pada waktunya.

Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, PN sedang menempah kegagalan sekiranya pentadbiran gabungan politik itu kekal statik, tidak progresif dan tidak tidak responsif terhadap cabaran semasa.

Apatah lagi, ujar beliau, rakyat hari ini juga sudah mula menyuarakan kebimbangan dan mahu melihat PN yang bersedia memimpin, bukan sekadar bersedia bertanding.

“Mereka mahu lihat sebuah gabungan yang tersusun, tangkas dan mempunyai strategi komunikasi serta pengurusan politik yang lebih moden dan agresif.

“Maka saya ulangi: pentadbiran PN mesti berubah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Tuan Ibrahim berhubung keperluan merombak struktur pimpinan pentadbiran PN bertujuan memperkasakan Majlis Presiden dan memperkukuhkan pasukan media serta Jabatan Pilihan Raya gabungan berkenaan.

Sementara itu menurut Nadzir, lebih membimbangkan, PN ketika ini berdepan Perdana Menteri yang menjadikan populariti peribadi sebagai strategi utama.

Katanya, beliau bukan sekadar memimpin, tetapi juga mencipta persepsi yang mana setiap tindakannya, daripada menyanyi ke bersajak, dari provokasi ke gimik media, adalah sebahagian daripada strategi untuk membina imej di mata rakyat.

“Ini bukan permainan biasa. Ini adalah politik persepsi yang memerlukan respon luar biasa,” katanya.

Tambah Nadzir, pentadiran PN perlu segar dengan pendekatan yang lebih dinamik, termasuk dalam aspek kepimpinan, penyusunan dalaman, naratif media, dan penglibatan anak muda.

Katanya, gabungan itu tidak boleh berharap kepada strategi lama untuk berdepan dengan cabaran politik baharu.

Apatah lagi, tambahnya, ada rakan-rakan politik yang sedang memerhati gabungan itu dan mahu bersama PN, tetapi mahu melihat kesungguhan PN untuk menjadi lebih kuat, lebih bersedia dan lebih strategik.

“Jika kita gagal memberi isyarat perubahan, maka kita akan gagal meyakinkan rakyat.

“Dan lebih malang, kita akan gagal meyakinkan bakal rakan seperjuangan.

“Perubahan ini bukan retorik. Ia satu tuntutan masa.

“Jika kita tidak berubah, maka kita akan diubah oleh rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut melahirkan kebimbangan terhadap trend sokongan pengundi Melayu yang hampir tepu terhadap PN berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya kecil (PRK). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here