KUALA LUMPUR – Malaysia bukan milik mana-mana kaum secara eksklusif, sebaliknya adalah milik semua warganegaranya tanpa mengira kaum.
Timbalan Pengerusi Biro Hubungan Etnik dan Agama MCA, Roger Yapp berkata, masa depan negara ini juga mesti diasaskan kepada kepercayaan, persefahaman dan cita-cita bersama antara pelbagai kaum, bukannya ketakutan, kebencian atau perpecahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya generasi muda menolak politik kebencian dan berpegang teguh kepada rasionaliti, perpaduan dan nilai-nilai Malaysia yang sebenar.
“Benar, masyarakat bukan Melayu ada mempelajari sejarah dan budaya asal-usul nenek moyang mereka.
“Namun, ini tidak bermaksud mereka tidak setia kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai peringatan Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada kepada anak muda Melayu supaya tidak terlalu mudah menerima kemungkinan Malaysia dikuasai oleh kaum bukan Melayu, meskipun mereka adalah rakyat negara ini.
Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya baru-baru ini, bekas Perdana Menteri itu menegaskan sikap keterbukaan generasi muda terhadap idea kepimpinan bukan Melayu perlu diteliti dari sudut realiti sosial dan sejarah negara.
Sementara itu, Roger menyifatkan kenyataan Dr. Mahathir tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah boleh mengundang ketegangan kaum dan menggugat keharmonian nasional.
Menurutnya, sebagai negarawan yang pernah memegang tampuk kepimpinan tertinggi negara, beliau sepatutnya menjadi suara perpaduan, bukan menyemai bibit-bibit perpecahan.
Dalam masa sama, beliau mengakui masih banyak ruang kepada penambahbaikan yang boleh dicapai di negara ini dan MCA bersedia untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
“Namun, ia tidak boleh dicapai melalui tuduhan, stereotaip atau retorik perkauman.
“Malaysia dibina dengan keringat semua kaum – dari buruh lombong dan ladang pada masa lalu, sehinggalah kepada guru, doktor, ahli perniagaan dan penjawat awam hari ini.
“Kita semua adalah rakyat Malaysia. Inilah tanah air kita bersama,” katanya. – MalaysiaGazette