Peguam Kanan, Datuk Redza Abdullah memberi taklimat dan nasihat undang-undang kepada penduduk yang menjadi mangsa letupan gas Putra Height ketika di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto MOHD ADZLAN, 04 MEI 2025.

PUCHONG – Mangsa letupan saluran paip gas di Putra Heights diminta agar berhati-hati sebelum menandatangani sebarang dokumen berkaitan pampasan atau bantuan.

Peguam, Datuk Redza Abdullah berkata kal ini kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan hak mereka untuk membuat tuntutan di mahkamah di kemudian hari.

“Saya tak larang tandatangan dokumen, tapi buat masa ini saya nasihatkan supaya berhati-hati.

“Setiap dokumen ada ‘small print’, kita tak tahu sama ada ia mengecualikan atau melemahkan hak kita hanya dengan bayaran yang kecil dan tak setimpal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sesi taklimat yang diadakan di Lot 10, Kampung Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Menurut Redza, bantuan seperti yang diberikan oleh kerajaan negeri tidak akan menjejaskan proses tuntutan undang-undang.

Ini kerana jelasnya, pampasan dan bantuan adalah dua perkara berbeza namun beliau tetap mengingatkan penduduk agar mendapatkan nasihat guaman sebelum menandatangani sebarang borang atau dokumen.

“Bantuan itu tanggungjawab (kerajaan), dan itu okay. Tapi pampasan adalah hak untuk menuntut ganti rugi melalui kuasa mahkamah. Ini bukan soal bantuan semata-mata,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pampasan yang boleh dituntut mangsa tragedi Putra Heights bukan sahaja melibatkan kemusnahan harta benda malah turut melibatkan kesan psikologi dan ekonomi.

Ia berlaku terutamanya selepas mangsa kehilangan tempat tinggal, kenderaan dan pekerjaan, malah keluarga terpaksa meminta bantuan anak-anak selepas ditimba kesusahan secara tiba-tiba.

“Kalau kita dapat kenal pasti punca, pihak yang bertanggungjawab sepatutnya beri pampasan.

“Tapi kalau kita tak mula tindakan, tiada siapa akan nampak atau dengar kita,” tambahnya.

Dalam pada itu, Redza menolak anggapan bahawa terdapat had maksimum atau minimum bagi jumlah pampasan yang boleh dituntut.

“Tiada jumlah maksimum. Pampasan bukan untuk buat untung. Ia adalah ganti rugi yang setimpal dengan kerosakan dan kerugian.

“Bukan kalau rumah RM200,000 dulu, sekarang minta RM400,000. Itu bukan cara dia. Ini bukan untuk buat keuntungan,” ujarnya.

Sesi taklimat undang-undang itu diadakan bagi memberikan panduan kepada mangsa tragedi Putra Heights mengenai hak mereka, termasuk potensi tindakan mahkamah dan aspek teknikal dalam menuntut pampasan yang adil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here