Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 05 MEI 2025.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tiada dasar utama negara termasuk hak bumiputera, keperluan vendor tempatan atau perlindungan sektor strategik, akan dikompromi dalam mana-mana rundingan termasuk dalam isu tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian terhadap halangan bukan tarif (NTB) dalam isu tarif timbal balik itu hanya akan melibatkan peraturan yang tidak lagi relevan dan semua perubahan akan dilakukan melalui proses kerajaan yang telus dan inklusif.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan akan terus menumpukan usaha mempercepat pelaksanaan agenda pembaharuan Ekonomi Madani seperti yang termaktub dalam dasar Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Usaha ini mustahak sebagai serampang dua mata dalam menjana aktiviti pelaburan jangka pendek dan pada masa yang sama memperkukuh daya saing jangka panjang negara dalam mendepani kegalauan ekonomi global,” katanya dalam sidang khas berhubung tarif timbal balik AS di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan mendepani kekacauan ekoran kenaikan tarif timbal balik AS dengan dengan asas ekonomi yang kukuh, dan yakin Malaysia mampu mendepani situasi tersebut secara terurus.

Jelas beliau, reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi MADANI membantu negara untuk lebih berdaya tahan dan siap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global.

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan tetap mengambil serius tindakan pengenaan tarif timbal balas (reciprocal tariff) oleh AS tersebut.

Mengambil kira kepentingan Amerika Syarikat sebagai destinasi eksport dan sumber pelaburan asing terbesar Malaysia, ujar Anwar, kerajaan berpendirian sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara (national interest), di samping mengekalkan hubungan baik dengan semua rakan dagang Malaysia.

“Alhamdulillah, kita secara agresif membuka ruang perdagangan baharu, meningkat kegiatan dengan rakan dagang sedia ada, BRICS, GCC di mana ini semua telah membuahkan hasil,” katanya.

Pada 2 April lalu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif timbal balik ke atas eksport barangan lebih 75 buah negara termasuk Malaysia yang dikenakan sebanyak 24 peratus.

Bagaimanapun, seminggu kemudian, pentadbiran AS mengumumkan penangguhan 90 hari bagi tarif timbal balik individu bagi kebanyakan negara namun mengekalkan tarif asas sebanyak 10 peratus.

Sehubungan itu, Anwar mengesahkan satu sidang khas Parlimen diadakan hari ini bagi membahaskan isu tersebut.

Ia selaras Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-Perturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi membolehkan isu-isu semasa yang mendesak dan memberi manfaat kepada rakyat dibincangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here