KUANTAN – Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pekan yang dilaporkan hilang semalam setelah keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarganya ditemui selamat pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pelajar lelaki berusia 13 tahun itu ditemui kira-kira pukul 7 pagi di rumah saudaranya di Chukai, Terengganu.
“Kita menerima laporan berkaitan kehilangan pelajar terbabit pada pukul 4 petang semalam dan telah menjalankan siasatan termasuk menemuramah keluarganya yang tinggal di Kuantan.
“Dan kita pun percaya pelajar berkenaan ada lari ke rumah ahli keluarga dan alhamdulillah pada pukul 7 pagi tadi kita telah dapat mengesan pelajar ini di rumah saudaranya di Chukai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mei 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Tambah Yahaya, polis juga akan merakam keterangan pelajar terbabit bagi mengetahui bagaimana dia pergi ke rumah saudaranya.
“Kita akan merakam keterangan pelajar itu bagi melengkapkan siasatan. Apa yang penting, pelajar itu telah dijumpai dan berada dalam keadaan baik,” katanya.
Semalam media melaporkan kehilangan seorang pelajar MRSM Pekan bernama Anas Baihaqi Miqdad Johari, 13, yang disedari ibunya kira-kira pukul 4 petang apabila mendapati remaja itu tiada di dalam bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu dilaporkan berkata, sebelum kejadian, ibu mangsa memaklumkan anaknya masih berada di rumah sekitar pukul 3.30 petang.
“Bagaimanapun, tidak lama kemudian pengadu menyedari anaknya tiada lalu mencarinya di sekitar kawasan perumahan namun gagal dikesan.
“Mangsa juga didapati membawa telefon bimbit milik adiknya, kasut sukan, beg galas sekolah serta wang tunai kira-kira RM200,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:















