KUALA LUMPUR – Pembangkang digesa agar mengenepikan perbezaan politik dan bersatu bersama kerajaan dalam menangani krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang dijangka memberi impak besar kepada ekonomi negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, cabaran yang timbul susulan ketegangan dagangan antara dua kuasa besar dunia itu memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak.
“Cabaran yang timbul akibat krisis perdagangan antara AS dan China memerlukan pendekatan ‘whole of nation’ yang inklusif dan proaktif. Ini merupakan tanggungjawab bersama semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kor Ming, dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, perpaduan nasional memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekonomi negara terus terpelihara.
“Dalam menghadapi landskap ekonomi global yang penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran, kita perlu bersepakat dan bertindak secara kolektif demi memastikan kestabilan ekonomi negara,” ujar pemimpin DAP itu.
Pada masa sama, beliau turut menyambut baik langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Khas Parlimen berkaitan isu Tarif Timbal Balik Import AS terhadap Malaysia.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyokong penuh saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengambil pendekatan yang inovatif, inklusif dan proaktif,” katanya.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, kementeriannya akan memberi kerjasama penuh dalam menjalin hubungan serantau terutamanya menerusi platform ASEAN.
Katanya, sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut, KPKT akan menganjurkan beberapa program penting peringkat serantau, termasuk Persidangan Hartanah ASEAN pada 23 hingga 26 Julai ini.
Selain itu, beberapa acara lain turut dijadualkan berlangsung, antaranya Forum Perbandaran Mampan ASEAN, Forum Gabenor dan Datuk Bandar ASEAN serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN dari 10 hingga 15 Ogos akan datang di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Tambah beliaum, turut dirancang untuk diadakan ialah Mesyuarat Tahunan Rangkaian Bandar Pintar ASEAN ke-8 yang akan diadakan dari 8 hingga 12 September juga di Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette