MELAKA – Tindakan seorang lelaki memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sehingga merempuh empat kenderaan selepas dipercayai mencuri kabel membawa padah apabila dicekup polis, awal pagi tadi.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 29 tahun itu yang memandu pacuan empat roda (4X4) jenis Toyota Hilux ditahan kira-kira jam 5.30 pagi di KM216.8 Lebuhraya Plus arah utara berhampiran Plaza Tol Alor Gajah.
Menurutnya, terdahulu kenderaan peronda polis (MPV) yang melakukan tugasan rondaan ternampak 4X4 suspek berwarna hitam menggunakan nombor pendaftaran palsu dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di Taman Teknologi Cheng pada jam 4.30 pagi.

“Semasa dihampiri polis, suspek terus memecut laju kenderaannya itu menuju ke Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Cheng dan melalui Krubong, Paya Rumput, Durian Tunggal sehingga ke Plaza Tol Ayer Keroh.
“Suspek juga merempuh palang plaza tol dan menghala ke Johor Bahru namun selepas beberapa kilometer, suspek tiba-tiba membuat pusingan U untuk berpatah balik menuju ke Kuala Lumpur dalam keadaan melawan arus.
“Dalam usaha melarikan diri sejauh kira-kira 100 km selama hampir sejam itu, suspek telah merempuh empat kenderaan lain termasuk sebuah lori, di lebuhraya Plus namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata polis kemudian melakukan Ops Tutup dengan bantuan tiga MPV polis Alor Gajah yang berada di lapangan sehingga berjaya memberkas suspek di KM216.8.
“Bagaimanapun, seorang lagi suspek lelaki berjaya meloloskan diri ke seberang lebuh raya.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas Toyota Hilux dipandu suspek, polis menemui 44 batang wayar kabel disyaki dicuri pemandu yang mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk enam berkaitan kes dadah,” katanya.
Tambahnya, mahkamah membenarkan suspek direman selama empat hari bermula hari ini.
Ia bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette















