Gambar hiasan. Foto SADIQ SANI, 07 MEI 2025

JOHOR BAHRU – Seramai 330 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur beberapa kawasan tapak pembinaan di lima daerah dalam Ops Gempur Sasar, semalam.

Operasi dilaksanakan dengan kekuatan 120 pegawai Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi berkenaan dijalankan serentak pukul 10.30 pagi di Johor Bahru, Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.

“Seramai 516 warga asing termasuk warga tempatan telah diperiksa. Tangkapan dibuat melibatkan 239 lelaki warganegara Bangladesh serta 61 lelaki dan empat wanita warganegara Indonesia.

“Ini termasuk 24 lelaki warganegara Myanmar; seorang lelaki warganegara Pakistan serta seorang lelaki warganegara Vietnam, mereka berusia antara 20 tahun hingga 57 tahun.

“Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun yang merupakan pengurus tapak pembinaan di Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semua warga asing yang ditahan itu disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Majikan warga tempatan itu pula katanya, di tahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi PATI.

“Sebanyak 13 Notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu-individu sepanjang operasi tersebut bagi membantu siasatan,” jelasnya .

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

“JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan membanteras warga asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen.

“Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu-individu yang didapati menggajikan serta melindungi PATI,” tegasnya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here