KUALA LUMPUR – Clinical Research Malaysia (CRM) digesa meneroka kerjasama lebih luas dengan negara anggota ASEAN dan institusi tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama yang dijalin mampu menghasilkan penemuan baharu selain dapat mengurangkan kos perubatan sesuai dengan iklim serantau.
Jelasnya, industri perubatan boleh mendatangkan beban sekiranya hanya bergantung pada syarikat pengeluar besar yang mengaut keuntungan terlalu tinggi, bukan saja terhadap kerajaan tetapi juga kepada pesakit.
“Cabaran kita adalah untuk memastikan kos perubatan tidak melambung. Justeru, CRM punya tugas besar untuk memastikan bertugas dalam bidang penyelidikan klinikal dan ada sinergi dengan semua institusi penyelidikan.
“Dalam mesyuarat Majlis Sains Negara, saya memberikan arahan yang sangat jelas bahawa tiada satu insitusi yang bekerja secara berasingan, bermakna keberkesanan CRM ini mesti dilakukan dengan kerjasama semua institusi penyelidikan dalam negara dan universiti tempatan.
“Setiap fakulti perubatan mesti dirangkul bersama supaya semua kegiatan itu dapat dijalankan secara bersama. Dengan cara ini, kita akan pastikan hasilnya itu jauh lebih berkesan.
“Kita dapat lihat hasilnya sekarang tapi kita mahu strategi bersama ASEAN supaya kerjasama itu lebih dekat dan mantap,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2025, hari ini.
Hadir pada majlis, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif CRM, Dr Akhmal Yusof.
Anwar berkata, penyelidikan klinikal adalah tonggak utama dalam landskap penjagaan kesihatan dan sosio ekonomi negara, dan sejak 2012 ekosistem itu menyumbang lebih RM1.5 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) Malaysia dan mewujudkan lebih 3,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Setiap ujian klinikal yang dijalankan di sini menghasilkan kesan berangkai dari hospital ke pusat pembangunan klinikal, hab pengurusan data, rangkaian logistik dan makmal berpusat,” katanya.
Perdana Menteri mahu penyelidikan memberi tumpuan kepada masalah yang dihadapi majoriti rakyat negara ini, berbanding menumpukan kepada penyakit di barat, seperti yang dilaksanakan pada tahun 70an, yang mana tumpuan ketika itu adalah bagi penyakit malaria, cacing kerawit dan batuk kering.
“Saya menekankan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini mengenai keperluan melakukan reformasi, anjakan dalam pemusatan kita supaya pendidikan, keutamaan perubatan dan memastikan jenis ubat generik yang dikemukakan tidak bergantung kepada syarikat utama dunia yang mengenakan kos keterlaluan tingginya.
“Pada masa sama, kita harus memastikan rakyat mendapat manfaat daripada fasiliti terbaik dan apabila sebahagian daripada kita sakit, kita diberikan rawatan terbaik,” katanya. – MalaysiaGazette