KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua pegawai Kementerian Dalam Negeri dan satu orang awam dalam operasi yang dijalankan antara jam 1.00 petang hingga 5.00 petang semalam di Putrajaya.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, ketiga-tiga individu tersebut ditahan bagi membantu siasatan susulan maklumat diterima berhubung kes rasuah berkaitan dengan urusan mempercepatkan permohonan pengesahan taraf warganegara (PTW).
“Operasi ini adalah lanjutan daripada Op Outlander yang baru-baru dijalankan SPRM. Pihak Kementerian Dalam Negeri memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam melaksanakan siasatan kes ini.
“Pada masa ini, ketiga-tiga individu sedang dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk siasatan lanjut,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette