KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memahami polisi ekonomi mikro di kalangan penjawatnya serta pembuat dasar bagi menangani ‘penyakit ekonomi’ negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemahaman ini harus menjadi asas dalam kementerian, jabatan, dan pusat penyelidikan bagi memastikan pembangunan bagi mengatasi permasalahan ini dilakukan secara adil dan berkesan.
“Saya selalu berkata, Dr. Dzul (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) tolong beritahu kepada staf anda, bukan hanya untuk mengetahui tentang penyakit, tetapi juga untuk memahami penyakit ekonomi dan polisi ekonomi mikro.
“Setiap kementerian, setiap jabatan, setiap pusat penyelidikan tentu saja inginkan lebih banyak penyelidikan, begitulah negara ini. Tetapi kita perlu melihat sekolah, infrastruktur raya, klinik dan hospital,” katanya ketika berucap merasmikan CRM Trail Connect 2025 di ibu negara, hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Menurut Anwar, setiap kawasan dan bandar pasti mempunyai permintaannya sendiri dalam aspek kesihatan dan kerajaan tidak boleh memenuhi semua keperluan itu tanpa pemahaman mendalam terhadap keutamaan dan keterbatasan sumber.
Tambah beliau, walaupun negara terus memperluas usaha penyelidikan dan pembangunan, tekanan yang wujud akibat permintaan ini turut dirasai masyarakat dan golongan profesional, terutama doktor.
“Doktor adalah sebuah kumpulan profesional yang sangat sensitif. Saya rasa dari pengalaman (Datuk Seri Dr Wan) Azizah , saya akan tahu.
“Itulah kenapa pemahaman polisi ekonomi mikro, kelemahan, mesti ada,” katanya.
Menurut Anwar, sejak 2012 sumbangan sektor klinik kepada pendapatan negara melebihi RM1.5 bilion, dengan lebih 3,000 pekerja berkemahiran tinggi.
Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), Perdana Menteri menyeru agar penyelidikan klinikal dan kerjasama serantau, khususnya dengan ASEAN, diperluaskan.
Jelasnya, langkah itu perlu memandang ketidaktentuan dalam pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Jadi, kita punya pilihan untuk menunggu atau melakukan apa sahaja yang diperlukan bermaksud melakukan penyelidikan yang bersama-sama untuk memastikan kita mempengaruhi perubahan ini dan mengimplementasikan reformasi ini secepat mungkin
“Kita perlu meningkatkan penyelidikan klinik dan kolaborasi dengan ASEAN adalah sangat luar biasa,” katanya. – MalaysiaGazette